PELARI Kuartet negara, (dari kiri), Badrul Hisham , Jonathan dan Nixson berjaya tempah slot final. -Foto fail
PELARI Kuartet negara, (dari kiri), Badrul Hisham , Jonathan dan Nixson berjaya tempah slot final. -Foto fail
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

KUARTET 4×100m negara membuktikan keupayaan mereka di pentas Sukan Komanwel 2018 apabila menempah tiket ke final di Stadium Carrara hari ini, menjadikan mereka kuartet pecut pertama negara mara ke final temasya sukan itu.

Kuartet dianggotai Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan itu melakukan catatan 39.39s untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik untuk mara ke final.

Catatan itu bagaimanapun masih belum menyamai rekod kebangsaan yang dilakukan mereka di Sukan SEA 2017 iaitu 39.27s dan mungkin itulah sasaran yang mahu dicapai pada final yang berlangsung esok.

Pengurus pasukan, Zainal Abas mengakui sukar buat anak buahnya menyaingi kehebatan jagoan antarabangsa yang masing-masing mempunyai susuk tubuh sasa dan catatan masa lebih baik berbanding mereka.

“Memang tiada peluang untuk menang pingat kerana yang bertanding adalah kuasa besar dalam acara itu,” kata Zainal.

“Namun saya berharap mereka dapat memperbaiki rekod kebangsaan dan berlari di bawah 39 saat.

“Kejayaan mereka menjadi kuartet pertama negara layak ke final juga satu pencapaian membanggakan.”

Sementara itu, Chuah Yu Tian tersingkir awal pada final acara lompat bergalah wanita apabila gagal melepasi paras 3.85m.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 9:32 PM