JUERGEN KLOPP
JUERGEN KLOPP
AFP

JURGEN Klopp memberi amaran kepada bintang pasukannya, Liverpool bahawa kebangkitan epik Roma berdepan Barcelona membuktikan kelab Itali itu tidak sepatutnya dipandang rendah dalam pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara.

Klopp boleh dimaafkan kerana berasa lega Liverpool berjaya mengelak penyandang juara Real Madrid dan juara Jerman, Bayern Munich pada undian hari ini.

Namun pengurus Liverpool itu menegaskan Roma akan menampilkan halangan besar buat pasukannya mara ke final Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 2007.

Roma mungkin kekurangan bintang berbanding lawan dalam kelompok empat terakhir namun pasukan Itali itu menunjukkan kualiti hebat dengan bangkit daripada ketinggalan 4-1 pada perlawanan pertama untuk mengetepikan Barcelona dengan kemenangan 3-0 pada perlawanan kedua, awal pagi Rabu lalu.

Pada masa sama ketika kebangkitan Roma, Liverpool mara ke separuh akhir dengan kemenangan 5-1 secara agregat berdepan pendahulu Liga Perdana, Manchester City.

“Saya cuba memikirkan apa yang saya rasa, tetapi ia bukanlah seperti saya rasa ‘Terima kasih Tuhan bukan Bayern, terima kasih Tuhan bukan Real Madrid, yippee Roma’ atau sebaliknya,” kata Klopp kepada laman sesawang Liverpool.

“Sesiapa saja yang akan kami hadapi, saya katakan ada peluang kerana ia adalah bola sepak. Tetapi jika sesiapa merasakan ia adalah undian paling mudah, saya tidak boleh membantunya, mereka jelas tidak melihat kedua-dua perlawanan menentang Barcelona.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 10:14 PM