PANEL elektronik mempamerkan undian pusingan 16 Liga Juara-Juara.
PANEL elektronik mempamerkan undian pusingan 16 Liga Juara-Juara.
Reuters

Nyon, Switzerland: Juara bertahan Barcelona akan menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal pada aksi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, 10 tahun selepas kedua-dua pasukan bertemu satu sama lain pada perlawanan akhir, hasil undian peringkat kalah mati pertama semalam.

Pendahulu liga Sepanyol Barcelona yang memburu gelaran keenam menang 2-1 pada final 2006 di Stade de France, Paris dan juga menang pusingan kalah mati pada 2010 dan 2011.

Chelsea yang mengharungi musim mencabar Liga Perdana Inggeris akan berdepan pendahulu liga Perancis Paris St Germain pada perlawanan kalah mati buat tahun ketiga berturut-turut selepas juara Perancis itu menang pada peringkat sama musim lalu dan kelab London itu menang pada suku akhir tahun sebelumnya.

“Terlalu banyak yang kami tahu mengenai Paris,” kata setiausaha Chelsea David Barnard.

“Anda hanya tahu ia undian yang baik selepas undian dibuat. Kami bercita-cita tinggi, kami mempunyai dua setengah bulan untuk persiapan,” kata pengarah sukan PSG Olivier Letang.

Satu lagi pertembungan membabitkan pasukan hebat akan mempertemukan bekas juara Juventus dan Bayern Munich, manakala juara 10 kali Real Madrid diundi menentang AS Roma.

“Semua orang mahu mengelak Barca dan Bayern jadi kami tidak begitu bertuah namun Bayern juga tidak gembira kerana diundi menentang Juve,” kata duta Juventus, Pavel Nedved.

PSV Eindhoven akan menentang Atletico Madrid, Dynamo Kiev akan berdepan Manchester City manakala Benfica akan bertemu Zenit St Petersburg.

Gent, dalam penampilan pertama pada pertandingan itu akan menentang kelab Jerman, Wolfsburg.

Sementara itu dalam undian 32 pasukan terakhir Liga Europa yang turut diadakan semalam, tiga wakil Liga Perdana Inggeris turut berentap pada pertandingan kelas dua kelab Eropah itu.

Pada perlawanan yang dijadualkan pada 18 dan 25 Februari 2016, Manchester United akan berdepan kelab Denmark, Midtjylland, Liverpool menentang Augsburg (Jerman) manakala Tottenham akan bertemu Fiorentina (Itali).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:55 AM