PEMAIN Felda United, Thiago Junior Aquino (duduk) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Kuantan FA 1-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PEMAIN Felda United, Thiago Junior Aquino (duduk) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Kuantan FA 1-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Oleh Amin Ridzuan Ishak


JARINGAN tunggal Thiago Junior Aquino sudah cukup untuk membolehkan FELDA United meraih tiga mata penuh ketika menewaskan Kuantan FA 1-0, dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad The Fighters itu merekodkan lima kemenangan berturut-turut dengan mengumpul 15 mata maksimum, sekaligus kekal berada di puncak liga. 

Berdepan Kuantan FA yang hanya mengumpul lima mata setakat ini, ia sepatutnya tidak memberi masalah kepada FELDA United, namun beberapa kesilapan mudah di awal perlawanan menyebabkan gerakan diatur anak buah B Satianathan tersekat. 

Hanya selepas 20 minit perlawanan, barulah FELDA United beraksi lebih kemas dan membuahkan hasil apabila pemain pertahanan, Thiago Junior Aquino meledak jaringan pada minit ke 21. 

Thiago Junior merembat masuk bola di dalam kotak penalti yang sebelum itu ditepis penjaga gol Kuantan FA, Muhd Nor Haziq Mohd Aris dalam usahanya menyelamatkan sepakan volley oleh Curran Lawrence Singh Ferns. 

Pada minit ke-28, FELDA United hampir menjaringkan gol kedua, namun tandukan Ahmad Syamim Yahya hasil sepakan sudut Wan Zack Haikal berjaya diselamatkan pemain Kuantan FA di tengah garisan gol. 

Asakan berterusan menerusi gandingan Thiago Augusto Fernandes dan Ramsay memaksa pemain pertahanan Kuantan FA melakukan kekasaran dan skuad The Fighters dianugerahkan sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-36. 

Bagaimanapun sepakan lencong cantik oleh Ramsay berjaya diselamatkan Muhd Nor Haziq yang melayangkan badan untuk menyelamatkan percubaan itu. 

Kuantan FA turut berpeluang menyamakan kedudukan di penghujung babak pertama, namun Zarko Korac gagal menyudahkan hantaran cantik Abdul Manaf Mamat walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol lawan, Mohd Farizal Harun. 

Pada minit ke 73, kelekaan Thiago Augusto dalam mengawal bola hampir membawa padah apabila dirampas Muhamad Akhir Bahari yang kemudiannya melakukan gerakan cantik bersama Abdul Manaf, sebelum menghantarnya ke Mohd Hafizi.

Namun sepakan pemain bertubuh kecil itu hanya sipi di sebelah kanan pintu gol.

Kedua-dua pasukan terus buntu jaringan sehingga tamat masa perlawanan, namun jaringan tunggal itu sudah cukup membolehkah FELDA United kekal sebagai pasukan pilihan mara ke Liga Super musim 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 12:25 AM