FERNANDES ketika sesi latihan Felda FC di Taman Ekuestrian Putrajaya. Foto file
FERNANDES ketika sesi latihan Felda FC di Taman Ekuestrian Putrajaya. Foto file
Rodly Fadly


PENYERANG import FELDA United, Thiago Augusto Fernandes menganggap dia masih ‘berhutang’ dengan kelab itu selagi tidak memenangi sebarang piala bersama mereka.

Justeru, dia meletakkan sasaran untuk menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini bagi melangsaikan hutang itu sekali gus menamatkan kemarau piala idaman The Fighters.

Thiago, pemain import tunggal dikekalkan dari skuad musim lalu berkata, selepas beberapa kali kariernya diberi talian hayat oleh FELDA United, sudah sampai masanya dia membalas budi mereka.

“Pada musim 2016, walaupun mengalami kecederaan serius namun FELDA mengekalkan saya. Bila pulih, saya dipinjamkan kepada Kedah yang memberi saya peluang memenangi Piala Malaysia.

“Musim lalu, mereka sekali lagi membuka ruang untuk saya kembali ke sini walaupun pada awal musim tidak menyenaraikan saya. Jadi, sudah sampai masanya saya membalas kepercayaan mereka.

“Selagi FELDA belum memenangi apa-apa kejuaraan, saya menganggap masih ada hutang dengan mereka yang perlu dilangsaikan,” kata Thiago.

Dia yakin rangkaian samba yang dimiliki The Fighters ekoran kehadiran dua lagi pemain Brazil, Thiago Aquino Junior dan Gilberto Fortunato mampu memberi impak lebih positif pada musim ini.

“Thiago memiliki pengalaman luas dengan bola sepak Malaysia kerana sebelum ini sudah tiga musim bersama Perak sementara Gilberto mewakili PKNP musim lalu.

“Jadi, soal menyesuaikan diri tidak menjadi masalah apatah lagi kami datang daripada negara serta budaya bola sepak yang sama,” ujar pemain itu.

Thiago juga yakin seorang lagi pemain import, Iain Ramsay turut menjadi nilai tambah dengan statusnya sebagai pemain kebangsaan Filipina serta pernah beraksi bersama beberapa kelab liga utama Australia.

“Kekuatan kami ditambah dengan pemain tempatan seperti Shukor Adan, Wan Zack (Haikal Wan Nor), Syamim (Yahya) yang sudah terbukti kemampuan mereka.

“Jadi, tiada sebab mengapa FELDA tidak boleh memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini,” kata Thiago.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 1:20 PM