PENJAGA gol Felda United, Mohd Farizal Harun (kanan) pada aksi Liga Perdana 2018 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. FOTO Farizul Hafiz Awang
PENJAGA gol Felda United, Mohd Farizal Harun (kanan) pada aksi Liga Perdana 2018 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. FOTO Farizul Hafiz Awang
Rodly Fadly


KUALA LUMPUR: Penjaga gol FELDA United, Farizal Harun berharap kedua-dua Thiago dapat kembali memperkuatkan pasukan itu apabila berdepan Terengganu pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Jumaat ini.

Farizal berkata, kehadiran dua pemain import dari Brazil itu amat penting demi mengukuhkan benteng serta menajamkan serangan.

The Fighters jelas tempang tanpa dua pemain itu pada aksi terakhir kumpulan minggu lalu hingga dibelasah 6-1 oleh Melaka United.

Thiago Junior Aquino yang diberi pelepasan pulang ke Brazil kerana urusan keluarga dijangka kembali petang ini sementara Thiago Augusto Fernandes yang mengalami kecederaan sedang menjalani rawatan intensif.

“Sebagai penjaga gol, keyakinan saya lebih tinggi jika Thiago (Junior) kembali berganding dengan Shukor (Adan) untuk mengawal benteng. Ini kerana pengalamannya sangat berguna untuk membaca serta menghadapi serangan lawan.

“Apatah lagi pasukan yang akan dihadapi bukan calang-calang kerana Lee Tuck dan Kipre (Tchetche) sangat berbahaya yang memerlukan pemain seperti Thiago untuk mematikan langkah mereka.

“Memandangkan jaringan di tempat lawan boleh memberi kelebihan, saya harap Terengganu tidak diberi ruang untuk menjaringkan gol di Jengka,” ujar Farizal.

Pada masa sama Farizal melihat kehadiran semula Thiago Augusto untuk mencorak serangan The Fighters bersama Gilberto Fortunato juga sangat penting bagi mencari bekalan selesa di tempat sendiri sebelum membuat perhitungan di Kuala Terengganu pada 28 September depan.

“Selain mengelak daripada dibolosi, kami juga perlu menjaringkan gol untuk dijadikan bekalan. Oleh itu, kami memang mengharapkan Thiago (Augusto) sempat pulih.

“Apatah lagi Wan Zack (Haikal Wan Noor) belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Begitu juga Hadin (Azman) dan Syamim (Yahya) yang baru kembali selepas cedera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 2:09 PM