AZRAAI (baju merah) sedia pacu momentum NS di tahap tertinggi.
AZRAAI (baju merah) sedia pacu momentum NS di tahap tertinggi.
Devinder Singh

KETUA jurulatih baharu Negeri Sembilan Azraai Khor Abdullah tidak sabar untuk kembali ke kancah liga bola sepak Malaysia selepas rehat dua tahun, dan perkara pertama akan dilakukannya ialah mengembalikan pemain-pemain dalam skuad Hobin Jang Hobin itu ke posisi asal mereka.

“Saya kenal beberapa pemain tempatan pasukan ini dan saya menonton perlawanan antara Negeri Sembilan dan Terengganu (Jumaat lalu), dan perkara pertama yang perlu dilakukan ialah meletakkan pemain-pemain di posisi asal mereka,” kata Azraai yang menggantikan Jorg Steinebrunner.

“Sudah tentu saya juga akan menanti jendela perpindahan (pada Jun) untuk membuat perubahan dan saya akan memantau sekiranya ada pemain baharu boleh dibawa masuk.

“Tetapi untuk berlaku adil, saya akan memberi peluang kepada pemain sedia ada untuk membuktikan kemampuan mereka. hanya selepas itu baru saya akan membuat perubahan.

Azraai, 65, kembali mewarnai arena bola sepak tempatan selepas kali terakhir bersama Sabah pada penghujung 2015 untuk tempoh sebulan.

Perlawanan pertamanya bersama Negeri Sembilan ialah menentang bekas pasukannya, Kedah yang pernah dibimbing menjuarai double treble pada tahun 2007 dan 2008.

“Selepas dua tahun berehat, cinta saya terhadap bola sepak tidak pernah berkurang walaupun saya menjadi mangsa keadaan sebelum ini,” kata Azraai merujuk kepada beberapa tawaran tidak masuk akal diterimanya sebelum ini.

“Tetapi Negeri Sembilan menunjukkan kesungguhan mereka dan memandangkan saya pernah melatih mereka sebelum ini, saya gembira untuk mengambil peluang ini.”

Azraai bagaimanapun tidak berpeluang untuk melatih pasukan di mana dia hanya memerhati penolong jurulatih, Asri Niggal mengendalikan latihan semalam.

“Asri akan membimbing pasukan bertemu Kedah, kecuali pendaftaran saya dapat diproses segera untuk saya berada di bangku pasukan. Tumpuan utama saya ialah mempersiapkan pasukan untuk bertemu Pahang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:08 AM