JURULATIH Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah. - Foto ADZLAN SIDEK
JURULATIH Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah. - Foto ADZLAN SIDEK
Rodly Fadly


JURULATIH Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah mengakui banyak kerja perlu dilakukan bagi memastikan pasukan itu kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Azraai yang mengambil alih tugas daripada Jorg Steinebrunner hujung bulan lalu, sedar berikutan kedudukan di tangga tercorot hasil satu kemenangan dalam lima perlawanan, tugas yang dipikulnya begitu mencabar.

Jurulatih itu berkata, situasi kali ini agak berbeza dibandingkan dengan tugasan pertamanya bersama pasukan itu pada 2011 bila mana beliau berjaya membawa skuad Hobin Jang Hobin menjuarai Piala Malaysia.

“Pada 2011, liga kita hanya dibarisi pemain tempatan yang mana ketika itu Negeri Sembilan memiliki adunan pemain berpengalaman dan muda yang bagus.

“Pemain senior seperti Shukor Adan, Hai-O (Hairuddin Omar), Idris Karim dan Nurhafiz Zamani Misbah berjaya membentuk gandingan mantap dengan pemain muda Farizal Marlias, Aidil (Zafuan Radzak), Zaquan Adha (Radzak) dan S Kunanlan.

“Tapi sekarang suasana amat berbeza dengan separuh kekuatan setiap pasukan bergantung kepada pemain import. Jadi jika pemain import gagal memainkan peranan diharapkan, secara tidak langsung memberi kesan kepada pasukan,” katanya.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana pemain import pasukan itu musim ini, Azraai berkata, beliau akan menilai serta memberi mereka peluang membuktikan kemampuan masing-masing hingga pintu perpindahan dibuka pada Jun depan.

Kuota import pasukan itu musim ini diisi oleh Kim Do Heon (Korea Selatan), Nicolas Velez (Argentina), Flavio Beck Junior (Brazil), Renars Rode (Latvia) dan Prak Mony Udom (Kemboja).

“Buat masa ini saya cuba melakukan yang terbaik dengan sumber sedia ada. Banyak kerja saya kena buat seperti meningkatkan kecergasan pemain, membentuk kombinasi serta meningkatkan keyakinan mereka.

“Saya akan lihat hingga Jun, jika perlu saya lakukan rombakan atau pertukaran pemain, saya akan lakukan demi menyelamatkan pasukan ini daripada kembali ke Liga Perdana musim depan.

“Sasaran sekarang adalah mengeluarkan Negeri Sembilan dari zon penyingkiran terlebih dulu. Selepas itu kami perlu memastikan pasukan ini konsisten untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super seperti ditetapkan oleh persatuan,” ujar Azraai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 11:46 AM