EFFENDI Jagan Abdullah menjelaskan JDT juga boleh mengambil tindakan ke atas Diaz (gambar kecil) kerana cara pemain itu meninggalkan pasukan dianggap tidak sah.
EFFENDI Jagan Abdullah menjelaskan JDT juga boleh mengambil tindakan ke atas Diaz (gambar kecil) kerana cara pemain itu meninggalkan pasukan dianggap tidak sah.
Zulfaizan Mansor


BEKAS penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz tidak boleh menyertai pasukan lain selagi tidak mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan, ITC hanya boleh diperoleh selepas semua dokumen termasuk salinan pasport, kontrak baru dan lama serta surat pelepasan daripada pasukan lama, diserahkan kepada Transfer Matching System (TMS).

“Dia (Diaz) boleh pergi ke pasukan lain sekarang, tapi bila nak dapatkan ITC mungkin dia berdepan masalah jika dokumen yang dikehendaki tidak dilengkapkan ke TMS.

“ITC hanya boleh dapat menerusi TMS, semuanya dilakukan secara online, jadi tidak boleh menipu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dalam kenyataannya, semalam menjelaskan Diaz yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim 2016 didakwa meninggalkan hotel penginapan pasukan pada 12 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala AFC.

Selepas itu, Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu video menjelaskan kemelut yang melanda JDT termasuk tindakan luar jangkaan Diaz adalah berpunca daripada jurulatih kecergasan mereka, Fernando. 

Sehubungan itu, Effendi menjelaskan JDT juga boleh mengambil tindakan ke atas Diaz kerana cara pemain itu meninggalkan pasukan dianggap tidak sah.

“Jika benar Diaz melarikan diri, kelab boleh ambil tindakan kerana dia sudah melanggar kontrak dan JDT boleh menuntut bayaran pampasan.

“Sekiranya pemain itu tidak bayar, kelab juga boleh bertindak tidak melengkapkan dokumen untuk dia mendapatkan ITC, sekali gus tidak boleh bermain dengan pasukan lain.

“Namun kelab memerlukan alasan yang kukuh untuk dimaklumkan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.

Terdapat juga spekulasi mengatakan Diaz berkemungkinan berada dalam radar kelab Indonesia, Persib Bandung yang kini dibimbing bekas jurulatihnya di JDT, Mario Gomez.

Selain itu, Effendi turut menganggap keputusan Tunku Ismail melepaskan Diaz adalah wajar kerana kelab tidak perlu menyimpan pemain yang sudah tiada hati untuk beraksi bersama pasukan itu.

“Pemain tidak boleh bertindak macam itu dan seperti yang Tunku Ismail katakan, tiada pemain lebih besar dari kelab. Jadi tindakan Tunku Ismail itu adalah wajar, tidak kira dia pemain bintang sekali pun.

“Bagi saya, pemain perlu berbincang dengan pengurusan dan hormati kelab. Jika dia tinggalkan begitu saja, kelab yang jadi mangsa, nak dapatkan pemain baru pun jendela perpindahan belum dibuka lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 6:57 PM