MORAIS buat kejutan tinggalkan JDT. - FOTO/FAIL
MORAIS buat kejutan tinggalkan JDT. - FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor 

 

 

ULISSES Morais sebentar tadi membuat kejutan, apabila mengumumkan meletak jawatan sebagai pengendali pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam satu kenyataan menerusi akaun rasmi Facebook kelab JDT, Johor Southern Tigers, beliau menjelaskan faktor kesihatan keluarga menjadi punca terpaksa meninggalkan skuad Harimau Selatan.

Morais dilantik sebagai ketua jurulatih JDT pada 19 Jun lalu, bagi menggantikan Benjamin Mora.

"Terima kasih kepada semua kakitangan, pemain dan seluruh struktur sepanjang sembilan bulan kami menghabiskan bersama dengan begitu banyak pencapaian dan kejuaraan yang dicapai.

"Kepada pembantu jurulatih setia saya, Rui Rodrigues yang menemani saya selama ini, terima kasih. Bersama anda, tugas di sini menjadi lebih mudah.

"Kepada para penyokong, terima kasih diatas sokongan, ambil berat dan penghormatan yang sentiasa diberikan setiap hari. Perlawanan demi perlawanan menjadikan kami terbaik di dalam setiap perlawanan," katanya.

Jurulatih kelahiran Portugal itu mengecapi pelbagai kejuaraan yang membanggakan bersama JDT musim lalu termasuk menjuarai Liga Super buat kali keempat berturut-turut selain mencipta sejarah baharu kelab apabila merangkul kejuaraan

Piala Malaysia buat kali pertama.

Sambil mengakui sedih terpaksa meninggalkan JDT, Morais berkata, beliau akan terus kekal dalam sejarah JDT dan kelab itu akan sentiasa berada di dalam hatinya.

Malah, beliau turut memuji sikap kepemimpinan yang tinggi dimiliki Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi pemacu penting kepada kejayaan JDT.

"Kepada nadi utama dan jantung utama kelab hebat ini, Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail), seorang lelaki muda yang tidak dapat dinafikan bakat, kepintaran dan kepimpinan yang dimiliki serta dilahirkan sebagai juara.

"Saya berkongsi pendapat dengan beliau berjam-jam dalam satu hari, sama ada di rumahnya atau di kelab di mana beliau selalu melayan saya dengan penuh penghormatan, pendidikan dan persahabatan, memenuhi semua keperluan untuk berjaya sehingga saat terakhir saya di sini.

"Baginda adalah seorang yang berwawasan. Apa yang difikirkan, tidak lama selepas itu ia akan berlaku. Menerusi rasa hormat yang tinggi terhadap penyokong dan masyarakat Johor, menjadikan beliau adalah yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 8:44 PM