Cabrera dibenar memakai jersi nombor 11. - FOTO HAFIZ SOHAIMI
Cabrera dibenar memakai jersi nombor 11. - FOTO HAFIZ SOHAIMI
Zulfaizan Mansor

PENGGUNAAN nombor 11 oleh tonggak import Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera pada jersi pasukannya adalah sah, walaupun ia berlaku di luar jendela perpindahan.

Perkara itu disahkan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dalam satu kenyataan hari ini.

Isu Cabrera memakai jersi nombor 11 yang sebelum ini milik bekas penyerang JDT, Jorge Pereyra Diaz ketika berdepan Sabah pada aksi Piala FA minggu lalu, menjadi topik hangat ketika ini khususnya di media sosial.

Malah pelbagai persoalan juga ditimbulkan peminat bola sepak tempatan dan ada yang mendakwa pertukaran itu sepatutnya tidak boleh dilakukan kerana di luar jendela perpindahan.

FMLLP menerusi kenyataannya itu menjelaskan Cabrera membuat permohonan rasmi kepada FMLLP untuk menukar nombor 23 yang digunakannya kepada 11 selepas Diaz meninggalkan JDT, bulan lalu.

“Setiap nombor jersi yang tidak berdaftar oleh mana-mana pemain boleh diguna pakai untuk membuat pertukaran jika ada permohonan secara rasmi kepada FMLLP.

“Nombor jersi 11 sebelum ini dipakai oleh pemain Jorge Pereyra Diaz, namun pendaftaran pemain itu sudah dibatalkan sebelum permohonan pertukaran jersi ini dibuat.

“Fenomena ini bukan pertama kali berlaku di Liga Malaysia. Ia pernah terjadi beberapa kali sebelum ini. Peraturan ini juga terpakai dalam liga antarabangsa yang lain,” kata kenyataan itu.

Diaz meninggalkan JDT secara mengejut pada 25 Februari lalu. Dia didakwa meninggalkan hotel penginapan pasukan pada jam 12 tengah malam di Singapura sebelum pasukan itu berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala AFC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 6:44 PM