PENYERANG JDT, Pereyra Diaz dikaitkan dengan kelab Persib Bandung di Indonesia yang kini dibimbing bekas jurulatihnya di JDT, Mario Gomez. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
PENYERANG JDT, Pereyra Diaz dikaitkan dengan kelab Persib Bandung di Indonesia yang kini dibimbing bekas jurulatihnya di JDT, Mario Gomez. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM

INDONESIA dikatakan mungkin menjadi destinasi penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz selepas meninggalkan kelab itu, kelmarin.

Menurut laporan football-tribe.com, pemain berusia 27 tahun itu dikaitkan dengan kelab Persib Bandung di Indonesia yang kini dibimbing bekas jurulatihnya di JDT, Mario Gomez.

Malah, portal berkenaan turut tidak menolak kemungkinan Diaz berada dalam radar skuad terbabit.

“Diaz pernah dikaitkan dengan Persib sebelum ini, apabila Mario Gomez dilantik sebagai ketua jurulatih. Gomez berkata bahawa beliau mahu membawa masuk seorang penyerang import dan kebanyakan spekulasi pada masa itu menyebut nama Jorge Pereyra Diaz,” kata Ketua Editor Football Tribe Indonesia, Isidorus Rio seperti yang dilaporkan football-tribe.com.

“Spekulasi itu tamat apabila Diaz membuat keputusan untuk kembali beraksi bersama JDT. Bagaimanapun, nama Diaz sudah mula diungkit oleh peminat Persib di Indonesia.

“Jendela perpindahan di Indonesia masih terbuka dan Persib masih memerlukan seorang penyerang import. Malah, spekulasi turut mengatakan bahawa pemain berstatus ‘Marquee’ di Persib, iaitu Michael Essien, mungkin dijual atau dilepaskan dalam masa terdekat.”

Menerusi kenyataan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, hari ini, Diaz yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim 2016 didakwa menghilangkan diri sebelum kelab itu berlepas ke Vietnam, kelmarin.

Bagaimanapun, Edwards tidak memaklumkan mengenai punca sebenar pemain kelahiran Argentina itu bertindak meninggalkan kelabnya secara mengejut.

“Kelab ingin memaklumkan kepada penyokong bahawa pemain kami, Jorge Pereyra Diaz meninggalkan hotel penginapan pasukan pada jam 12 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan AFC.

“Ejen beliau sudah menghubungi kami dan memberitahu mengenai niat pemain itu yang ingin meninggalkan kelab. Kelab sudah membuat keputusan untuk menghormati keputusan itu dan membiarkan beliau pergi.

“Kami akan mencari pengganti baru untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka bulan Jun nanti,” kata Edwards.

Skuad JDT yang kini dibimbing jurulatih sementara, Raul Longhi akan berdepan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An FC, esok bagi aksi kedua Kumpulan H, saingan Piala AFC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 8:22 PM