PEMAIN B-23 negara, Daniel Amier (kiri) pmenduduki tempat ketiga dalam undian jaringan tercantik Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di China. - Foto OSMAN ADNAN
PEMAIN B-23 negara, Daniel Amier (kiri) pmenduduki tempat ketiga dalam undian jaringan tercantik Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di China. - Foto OSMAN ADNAN
Rodly Fadly


WALAUPUN sekadar menduduki tempat ketiga dalam undian jaringan tercantik Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di China, Muhammad Daniel Amier Norhisham tetap akan mengenang gol yang dihasilkan ketika Malaysia mengalahkan Arab Saudi 1-0 itu sebagai yang terbaik sepanjang kariernya.

Malah, dia kini menjadikan gol itu sebagai azimat untuk menyusun atur perjalanan kariernya dalam menggapai impian menyarung jersi Harimau Malaya suatu hari kelak.

Daniel atau mesra dengan panggilan Boy berkata, tidak ada sekelumit rasa kecewa apabila gagal meraih gelaran gol tercantik kerana baginya dicalonkan dalam senarai 10 terbaik sudah dianggap bonus.

“Saya akan lebih mengenang gol ini sebagai jaringan yang mencipta sejarah kerana membantu Malaysia mara ke suku akhir buat pertama kali.

“Pada saya itu lebih bernilai kerana kalau terpilih sebagai jaringan tercantik sekalipun tapi gagal membantu Malaysia, ia tidak akan membawa apa-apa makna kepada saya,” katanya.

Pemain muda FELDA United berusia 21 tahun itu meledak gol berkenaan pada minit ke-28 dalam perlawanan terakhir kumpulan C yang menentukan hidup mati skuad negara selepas kalah 1-4 kepada Iraq dan seri 1-1 dengan Jordan dalam perlawanan terdahulu.

Dalam undian yang dilakukan melalui laman sesawang AFC, penyerang Vietnam, Nguyen Quang Hai yang dicalonkan melalui dua jaringan menduduki tempat pertama dan kedua.

Nguyen mendapat 139,704 undian melalui jaringan ke atas Uzbekistan dan 53,970 undian untuk gol ke atas Qatar sementara Daniel hanya meraih 11,106. 

Seramai 218,915 orang mengambil bahagian sepanjang 25 hari tempoh undian yang berakhir pada 2 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 4:57 PM