PEMAIN Shakhtar jalani latihan persiapan berdepan Roma. -Foto Agensi
PEMAIN Shakhtar jalani latihan persiapan berdepan Roma. -Foto Agensi
AFP

KIEV: Pasukan dianggap pelarian perang, Shakhtar Donetsk akan ke perlawanan Liga Juara-Juara berdepan kelab Itali, AS Roma dengan semangat tinggi walaupun kurang membeli pemain serta jarang mendapat latihan secukupnya.

Peperangan di timur Ukraine antara tentera kerajaan dan puak pemisah disokong Russia memaksa Shakhtar bermain di laman sendiri jauh dari stadium canggih mereka Donbass Arena sejak empat tahun lalu.

Pada 2014, kelab itu berpindah ke Lviv, hampir dengan sempadan barat Ukraine dengan Poland, namun penyokong tempatan – lebih suka kepada pasukan utama mereka, Karpaty – dan sering kali bermusuhan dengan pasukan dari Donetsk itu atau tidak langsung mempedulikan perlawanan mereka.

Tahun lalu pemilik Shakhtar membuat keputusan menukar venue “tuan rumah” ke bandar timur dekat Kharkiv, 250 kilometer ke barat laut tempat asal mereka, Donetsk.

Shakhtar, kelab tunggal dari timur Eropah bermain pada peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, akan menanti kehadiran Roma awal pagi Khamis ini di stadium berkapasiti 40,000 tempat duduk, Metalist Kharkiv.

 

Konflik di Ukraine menyebabkan jutawan Shakhtar, Rinat Akhmetov hilang kawalan terhadap banyak lombong arang batu dan syarikat di wilayah pemberontak dekat timur.

Ia secara serius mengurangkan wang jutawan itu, menyebabkan mereka kurang membeli pemain baharu dan bos kelab terpaksa fokus mengekalkan pemain luar sedia ada dan menyatukan mereka dengan bakat tempatan.

Pengurus Shakhtar dari Portugal, Paulo Fonseca yang menggantikan pengendali Romania, Mircea Lucescu pada 2016, berkata dia gembira mengelak “kelab hebat seperti Barcelona dan PSG” dalam kelompok 16 pasukan terakhir.

Fonseca bagaimanapun memberi amaran bahawa kelab Serie A yang kembali mendapat prestasi terbaik itu adalah lawan yang sukar.

“Kami sedar lawan itu memang berbaloi tetapi ia bukan mudah,” katanya kepada laman sesawang kelab. 

“Ini adalah pasukan yang diuruskan dengan sempurna dan melakukan sesuatu dengan  hebat setiap cabaran diberikan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 1:16 PM