FONSECA tandatangani kontrak dua tahun di Stadio Olimpico. — FOTO EPA
FONSECA tandatangani kontrak dua tahun di Stadio Olimpico. — FOTO EPA
Reuters

AS Roma melantik Paulo Fonseca sebagai jurulatih baharu mereka dengan bekas bos Shakhtar Donetsk itu menandatangani kontrak dua tahun, umum kelab Serie A Itali itu hari ini.

Fonseca, yang mengemudi kelab Ukraine itu melakar kejuaraan berganda liga dan piala tiga tahun berturut-turut dari 2016 hingga 2019, menggantikan Claudio Ranieri, yang dilantik Mac lalu secara sementara hingga hujung musim.

“Saya amat bangga dilantik sebagai ketua jurulatih AS Roma,” kata Fonseca, pengendali dari Portugal dalam satu kenyataan laman web kelab itu.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pengurusan kelab kerana memberi peluang ini kepada saya. Saya teruja dan mempunyai motivasi untuk berdepan tugas mendatang.”

ROMA sekadar menghuni tangga keenam Serie A. — FOTO Agensi
ROMA sekadar menghuni tangga keenam Serie A. — FOTO Agensi

Jurulatih berusia 46 tahun itu pengganti tetap Eusebio Di Francesco, yang dipecat Mac lalu dan Roma menyatakan mereka mempunyai pilihan unttuk menyambung kontraknya setahun lagi hingga 2022.

“Paulo seorang jurulatih muda dan bercita-cita besar dengan pengalaman antarabangsa, mentaliti kemenangan dan reputasi mengamalkan corak permainan berani, gaya menyerang yang pasti menceriakan penyokong kami,” kata presiden Roma, Jim Pallotta.

“Daripada perbualan pertama dengannya, beliau menjelaskan mahu datang ke Roma dan teruja mengenai cabaran untuk bekerja dengan pemain kami dan membentuk pasukan yang boleh dibanggakan peminat.”

Fonseca mempunyai tugas untuk mengemudi Roma kembali ke Liga Juara-Juara selepas kelab itu berakhir di tangga keenam Serie A dan terlepas kelayakan ke pertandingan kelab perdana Eropah itu buat kali pertama sejak 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 6:18 PM