PAULO Fonseca. -FOTO Reuters
PAULO Fonseca. -FOTO Reuters
AFP

Rom: Bekas jurulatih Roma, Paulo Fonseca akan kembali ke Itali sebagai pengendali baharu AC Milan dengan perkara itu diumumkan naib juara Serie A hari ini.

"Mengumumkan jurulatih baharu Milan ialah Paulo Fonseca," kata bekas penyerang Milan, Zlatan Ibrahimovic yang mewakili pemiliknya, pada sidang media.

Fonseca, 51, menandatangani kontrak tiga tahun sebelum ini bersama kelab Perancis, Lille sejak 2022.

Dia menggantikan Stefano Pioli, yang dipecat pada penghujung musim 2023-24 selepas lima musim berkhidmat.

"Kami mengkaji dengan teliti apa yang dia lakukan, bagaimana dia mempersiapkan perlawanannya," kata Ibrahimovic yang dua musim tampil sebagai pemain bersama kelab itu sebelum menamatkan karier di atas padang bersama Milan pada 2023.

"Kami mahu dia membawa identiti permainannya, gaya serangannya kepada pasukan dan pemain kami.

"Selepas lima tahun kami mahukan sesuatu yang baharu dan kami menghormati Stefano Pioli."

Dilahirkan di Nampula, Mozambique, pada 1973, Fonseca memulakan kerjaya kejurulatihannya di Portugal dengan berkhidmat di Pacos de Ferreira, Porto dan Braga sebelum menghabiskan tiga tahun di kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk, di mana dia memenangi tujuh trofi dan menamatkan dengan rekod 103 kemenangan dalam 139 perlawanan.

Pada 2019, dia mengambil alih jawatan di Roma, yang dipimpinnya ke tempat kelima dan ketujuh dalam Serie A, sebelum berhijrah ke Lille dan membawa pasukan itu menduduki tempat kelima dan keempat dalam Ligue 1 dan membawa mereka ke saingan Eropah dalam kedua-dua musim ketika di Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 7:30 PM