SHAHREL kini sedang menjalani rawatan di Institut Sukan Negara. FOTO/FAIL
SHAHREL kini sedang menjalani rawatan di Institut Sukan Negara. FOTO/FAIL
Rodly Fadly


WALAUPUN terpaksa membuat pusingan U apabila menyambung kontrak bersama PKNP FC, Shahrel Fikri Fauzi belum memadam hasrat untuk mencari pengalaman bersama pasukan lain pada masa depan.

Shahrel yang sedang menjalani rawatan di Institut Sukan Negara berkata, hasrat yang terbantut susulan kecederaan pangkal paha kiri itu akan diteruskan walaupun terikat dengan PKNP hingga 2020.

Malah dia memasang impian lebih tinggi dengan aksi di liga luar negara menjadi idaman demi meningkatkan permainannya.

“Kontrak saya bersama PKNP tidak menjadi halangan kerana kami mempunyai persefahaman bersama mereka akan melepaskan saya jika menerima tawaran kelab lain.

“Jadi walaupun kontrak masih berbaki tiga tahun namun saya boleh meninggalkan PKNP bila-bila masa dalam tempoh itu dengan syarat mematuhi peraturan serta perjanjian.

“Ia bukan bermakna saya tidak menghargai jasa PKNP atau bersikap kacang lupakan kulit tapi saya nak cari pengalaman baru serta meningkatkan permainan,” kata Shahrel.

Untuk itu kata Shahrel, dia sedia menerima tawaran kelab luar termasuk Liga Thailand walaupun gaji ditawarkan dilaporkan lebih rendah berbanding di negara ini.

“Saya difahamkan ada pemain kita yang tolak tawaran bermain di sana kerana gaji lebih rendah tapi saya pula tidak kisah kerana apa yang lebih penting adalah pendedahan,” katanya.

Namun, menurut Pemain Terbaik Anugerah Bola sepak Kebangsaan 2017 itu, ia bukan menjadi keutamaan sekarang kerana tumpuannya kini adalah memulihkan kecederaan yang dialami sejak Oktober lalu.

“Keadaan tidak menentu mengenai masa depan saya baru-baru ini menyebabkan saya hilang fokus seketika hingga mengabaikan rawatan kecederaan.

”Selepas memutuskan untuk kekal bersama PKNP, mulai semalam, saya fokus untuk memulihkan kecederaan di ISN yang dijangka mengambil masa tiga minggu.

“Saya harap kecederaan ini pulih serta tidak berulang kerana ingin menguji sejauh mana kemampuan bersaing dalam Liga Super di samping membalas kepercayaan PKNP,” ujar pemain berusia 23 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 10:43 AM