SHAHREL (dua dari kiri) nafi khabar angin. FOTO/DANIAL SAAD
SHAHREL (dua dari kiri) nafi khabar angin. FOTO/DANIAL SAAD
Mohamad Zulfaizan Mansor


PENYERANG berbisa PKNP FC, Shahrel Fikri Fauzi mengakui terkejut apabila namanya dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Justeru pemain berusia 24 tahun itu pantas menafikan khabar angin itu yang sudah mula menular di media sosial.

Malah Shahrel turut menegaskan betapa dia ‘sayang’ untuk meninggalkan PKNP dengan kontraknya bersama pasukan Liga Perdana itu masih berbaki dua tahun.

“Tiada apa-apa (tawaran daripada Johor DT). Saya pelik dan terkejut apabila secara tiba-tiba khabar angin itu muncul.

“Malah ramai pemain yang menyerlah dikaitkan dengan Johor DT. Apa pun, saya tidak fikir apa-apa (soal perpindahan) dan kontrak saya dengan PKNP hingga 2019.

“Setakat ini tiada pasukan pun yang menghubungi saya, mungkin mereka tahu saya masih ada kontrak dengan PKNP. Sayang juga nak tinggal kelab ini kerana saya asal Perak dan mula mencipta nama pun dengan PKNP,” katanya.

Selain Shahrel, khabar angin mengaitkan beberapa tonggak skuad bawah 22 tahun (B-22) termasuk Nor Azam Azih, Adam Nor Azlin, S Kumaahran dan Syamer Kutty Abba akan berhijrah ke Johor DT juga sudah tersebar di media sosial.

Shahrel muncul antara penyerang tempatan yang menyerlah dalam saingan Liga Malaysia musim ini dan dia sudah meledak 11 gol buat PKNP dalam kancah Liga Perdana.

Selain itu, dia yang diberi tanggungjawab sebagai kapten PKNP mengakui musim ini paling berbaloi dalam kerjayanya apabila dapat membantu menaikkan nama kelab dari Perak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 2:01 PM