IRFAN (tengah) bersama barisan pemain, pegawai FELDA United pada majlis pengenalan dan pelancaran jersi pasukan di STAR, Jengka.
IRFAN (tengah) bersama barisan pemain, pegawai FELDA United pada majlis pengenalan dan pelancaran jersi pasukan di STAR, Jengka.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Jengka: FELDA United berharap kehadiran 13 muka baru mampu merealisasikan sasaran meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini.

The Fighters kendalian Irfan Bakti Abu Salim membawa masuk dua import baharu dalam usaha memperkuatkan pasukan iaitu pemain pertahanan Gilberto Carlos dari Brazil serta Lutfulla Turaev (Uzbekistan) bagi mengemudi barisan tengah.

Turut didaftarkan bekas penyerang kebangsaan dan Perak Bobby Gonzales serta dua bekas tonggak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ahmad Shukur Jusoh dan Mohd Fazly Alias.

Majlis pengenalan pemain dan pengurusan skuad The Fighters diadakan di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Jengka, Pahang semalam.

Turut diperkenalkan jersi baru FELDA United yang menggunakan jenama FBT dengan warna oren kekal pilihan utama selain biru dan putih.

The Fighters kekal diketuai Mohd Shukor Adan yang juga tonggak pertahanan tengah pasukan musim lalu.

Irfan Bakti mengekalkan dua tonggak import, Thiago Augusto Fernandes (penyerang) dan Zah Rahan Karanga (tengah) selain penjaga gol Mohd Farizal Harun.

“Sudah tentu tugas berat bagi saya dan pemain apabila pengurusan tetapkan sasaran sekurang-kurangnya satu piala. Namun saya yakin dengan pemain kami mampu melakukannya.

“Tidak banyak perbezaan skuad musim ini, cuma dua pemain import baharu untuk memperkuatkan pemain tengah dan pertahanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 5:56 AM