FERNANDES (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan jaringan golnya pada saingan Piala FA menentang UKM FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.  -Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
FERNANDES (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan jaringan golnya pada saingan Piala FA menentang UKM FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. -Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Nik Sukry Ramli


PENGENDALI FELDA United, B Sathianathan berang dengan persembahan barisannya walaupun mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas UKM FC pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.

Menurutnya, The Fighters bernasib baik menang selepas sebahagian besar pemain tidak mempamerkan prestasi pada tahap sebenar dan membuka ruang kepada pemain UKM FC untuk memperoleh gol awal.

"Memang kita menang (malam tadi) tapi ini bukan persembahan yang memuaskan. Taktikal yang kita rancang tidak menjadi, persembahan juga kurang kemas. Kita dapat lihat lawan menguasai 10 minit pertama perlawanan dan gawang kita dibolosi seawal minit keenam.

“Gandingan pemain import dan tempatan turut gagal memanfaatkan banyak peluang keemasan bagi menambah jaringan sepanjang aksi babak kedua. Jadi, tempoh rehat dua minggu akan digunakan bagi memperbaiki kelemahan menjelang aksi suku akhir.

"Lagipun, kita akan berdepan pasukan lebih kuat di suku akhir dan jika kita mahu mara lebih jauh, pemain kena berusaha keras," katanya sejurus perlawanan.

Pada saingan kalah mati itu, FELDA United bangkit menyamakan kedudukan menerusi rembatan cantik Gilberto Valdenesio Fortunato pada minit ke-13 selepas Kipson Atuheire terlebih dulu meletakkan pelawat di depan pada minit keenam. 

Thiago Augusto Fernandes memastikan kemaraan FELDA United ke suku akhir dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-39.

Sementara itu, ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin berbangga dengan kemampuan anak buahnya memberi tentangan kepada FELDA United.

"Meskipun mereka (FELDA United) bermain di Liga Perdana, tapi kami masih menganggap mereka pasukan Liga Super.

"Penjaga gol, Mohamad Khairi Hassan juga mempamerkan aksi yang sangat baik. Dia menggunakan pengalaman yang ada untuk menyelamatkan gawang kami daripada dibolosi lebih banyak gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 11:52 AM