KETUA Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan bin Ab Rahman (kanan) menyampaikan tajaan konfederasi hoki Malaysia 2018 kepada Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Prof Dr Shamala Subramaniam pada majlis memperkenalkan pasukan hoki TNB sempena Kejohanan TNB-Liga Hoki Malaysia 2018. Foto ASWADI ALIAS
KETUA Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan bin Ab Rahman (kanan) menyampaikan tajaan konfederasi hoki Malaysia 2018 kepada Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Prof Dr Shamala Subramaniam pada majlis memperkenalkan pasukan hoki TNB sempena Kejohanan TNB-Liga Hoki Malaysia 2018. Foto ASWADI ALIAS
Naqib Nor Said


SUDAH tiba masanya Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meningkatkan kemeriahan Liga Perdana dengan menambah jumlah penyertaan pasukan tahun depan selepas hanya enam pasukan mengambil bahagian musim ini.

Perkara itu dibangkitkan rakan penaja MHC iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam sesi memperkenalkan barisan pemain pasukan TNB dan TNB Thunderbolts di sini sebentar tadi.

Ini kerana sejak diwujudkan pada 1987, kebiasaannya saingan liga tertinggi negara itu hanya akan dihangatkan dengan kehadiran enam atau tujuh pasukan, malah penyertaan lapan pasukan pada kempen tahun lalu boleh dianggap sebagai tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir.

Angka itu nyata membimbangkan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman yang menggesa MHC menggalakkan pasukan negeri menyertai saingan liga yang berorientasikan kelab itu.

Dan saranan itu pantas mendapat perhatian MHC menerusi timbalan presiden kanan Dr S Shamala yang mengakui sedia mempertimbangkannya.

“TNB adalah rakan penaja dan juga penyokong terbesar hoki negara, sudah tentu kami memandang serius perkara ini.

“Kami tidak menolak untuk mengambil idea kreatif (buka penyertaan kepada pasukan negeri) bagi meningkatkan bilangan pasukan pada musim depan.

“Dan saya percaya ia idea yang baik untuk kempen tahun depan kerana struktur negara kita yang lebih tertumpu kepada pembangunan sukan di peringkat negeri lebih memudahkan pasukan mencari pemain,” katanya pada sidang media memperkenalkan pasukan TNB di Kelab Kilat, sebentar tadi.

Situasi ‘tenat’ itu bukannya masalah baharu tatkala kebanyakan pasukan takut menyertai Liga Perdana kerana menyedari jurang agak jauh berbanding pasukan utama yang pasti memiliki dana lebih besar untuk mendapatkan pemain import berkualiti.

Mengikut perancangan, saingan musim ini sepatutnya membabitkan 10 pasukan, namun juara Divisyen 1 Nur Insafi dan naib juara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak peluang beraksi di saingan utama dengan menarik diri.

Akibat penarikan diri itu, UiTM dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang sepatutnya kekal dalam Liga Perdana turut mengikut jejak langkah dengan meminta kelonggaran beraksi dalam Divisyen 1.

Dalam pada itu, TNB turut menyerahkan cek penajaan RM4 juta untuk tahun keempat kepada MHC pada majlis berkenaan dengan perjanjian keseluruhannya bernilai RM20 juta selama lima tahun bagi kejohanan hoki anjuran MHC itu berbaki setahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 2:38 PM