FAIZAL (tengah) dahului senarai pemain THT. -Foto fail
FAIZAL (tengah) dahului senarai pemain THT. -Foto fail
Malik Muhamad


PENYERANG pasukan hoki kebangsaan, Faizal Saari mengetuai senarai 22 pemain kelab Terengganu Hockey Team (THT) seperti yang diumumkan Persatuan Hoki Terengganu (PHT) dalam misi mempertahankan gelaran Piala Tan Sri P Alagendra yang bakal membuka tirainya, esok.

Pengurus THT, Zaki Mohd Noor berkata, selain penyerang prolifik itu, turut berada dalam senarai akhir skuad THT ialah adik Faizal, Mohd Fitri yang akan menggalas tugas di posisi tengah serta penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman.

“Turut tersenarai dalam skuad THT kali ini ialah bekas pemain TNB, Muhammad Firdaus Omar, Mohamad Syafiq Mohamed Zain dari Maybank dan B Namasivayam dari Melaka.

“Selain itu, THT mengekalkan pemain pertahanan musim lalu dari Perak, Azlan Misron, Mohd Shahrun Nabil Abdullah, Muhammad Amirul Mirza Rozi dan Baljit Singh,” kata Zaki.

Beliau berkata, turut terpilih ialah Muhammad Sufi Ismat MR Rohulamin, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Muhammad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, Manraj Singh, Wan Mohd Hazrul Wan Nawi dan Ameer Aiman Mohamad Saberi.

“Senarai 16 pemain tempatan itu adalah adunan pemain berpengalaman dan muda yang diyakini mampu menjadi aset berharga dan kekuatan pasukan dalam mengharungi kancah Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

“Dengan adanya enam pemain import, ia bakal memantapkan lagi pasukan dalam misi mengekalkan kejuaraan trofi Tan Sri P Alagendra dan mengintai Piala Sumbangsih, Piala MHL dan Piala TNB,” katanya.

Sebelum ini, skuad bimbingan Sarjit Singh itu sudah mengikat enam awang import termasuk pakar pukulan sudut penalti dari Argentina, Ganzalo Peillat dan pemain kebangsaan Jerman, Moritz Erhard.

Empat lagi pemain import yang bakal bersama ialah Joaquin Menini, Pablo Javier Trevisan dan Barreiros Lopez dari Argentina serta Ahmad Shakeer Butt dari Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 3:32 PM