SHAHREL harap anugerah ABK mampu memberinya lebih bersemangat dalam Liga Malaysia.
SHAHREL harap anugerah ABK mampu memberinya lebih bersemangat dalam Liga Malaysia.
Syafiq Aznan


KETIKA mula menjejakkan kaki untuk beraksi di Liga Perdana, penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri Fauzi mengakui gusar dengan persekitaran baharu yang bakal diharunginya musim ini.

Namun, ‘pertaruhan’ penyerang berusia 23 tahun itu nyata berbaloi apabila dia menjadi watak penting penampilan sulungnya di divisyen dua itu dengan membantu PKNP menjadi pesaing kejuaraan Liga Perdana selain mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Malah, penyerang muda itu turut membuktikan statusnya selaku penggempur tempatan paling berbisa dengan meledak 20 gol dalam semua pertandingan sekali gus dinobatkan Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK2017) yang berlangsung di Petaling Jaya, kelmarin.

“Sebelum menyertai Liga Perdana, saya berfikir panjang kerana tahu saingannya begitu berbeza berbanding Liga FAM kerana kita perlu bersaing dengan pemain import.

“Selepas muncul penjaring terbanyak Liga FAM sebelum ini, saya gembira dapat meneruskan rentak cemerlang musim sebelum ini apabila beraksi dalam Liga Perdana musim ini sekali gus membuktikan kami mampu mencapai apa saja jika sentiasa bekerja keras,” katanya.

Pada sama sama, Shahrel mengakui anugerah dirangkulnya itu membuktikan pasukannya itu kini tidak lagi boleh dipandang pasukan kerdil.

Jelas Shahrel sendiri, penghormatan diterimanya selepas mengetepikan dua pencabar daripada gergasi bola sepak tempatan iaitu Amri Yahyah (Selangor) dan Syafiq Ahmad (Kedah) dilihat dapat meningkatkan prestij pasukan itu, apatah lagi mereka akan beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.

“Saya menyifatkan anugerah ini sebagai motivasi yang menunjukkan bahawa beraksi di Liga Perdana tidak pernah menjadi halangan untuk memberikan persembahan terbaik ketika beraksi di padang.

“Ramai yang mengganggap kami bukan pilihan pada mulanya tapi saya gembira apabila dapat membantu pasukan ini menunjukkan prestasi baik musim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 4:51 PM