PENJAGA gol PKNP  Ahmad Asyraaf Omar menyelamatkan keadaan walaupun dicabar pemain UiTM  Sadam Hashim (tengah).
PENJAGA gol PKNP Ahmad Asyraaf Omar menyelamatkan keadaan walaupun dicabar pemain UiTM Sadam Hashim (tengah).
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Jurulatih PKNP FC Abu Bakar Fadzim menyuarakan keyakinan anak buahnya mampu melakukan kejutan dalam kempen Piala Malaysia Julai depan selepas prestasi memberangsangkan dalam saingan Liga Perdana.

Selepas menamatkan pusingan pertama liga di kedudukan tiga terbaik, PKNP yang baru dinaikkan taraf dari Piala FAM tahun ini dilihat mempamerkan prestasi di luar jangkaan.

“Selepas pusingan pertama Liga Perdana, saya fikir kami mempamerkan prestasi di luar jangkaan kerana kami tidak memiliki pengalaman beraksi dalam Liga Perdana sebelum ini. Tapi kami belajar dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Pasukan yang kuat akan dapat mempertahankan kedudukan hingga habis musim jadi kami akan terus berusaha. Kami hanya ada tiga pemain import sekarang jadi untuk Piala Malaysia, dengan penambahan pemain import pada jendela perpindahan kedua nanti serta pengalaman yang dimiliki pemain sekarang, saya percaya kami mampu memberi saingan kepada pasukan lebih berpengalaman,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan anak buahnya seri 1-1 dengan UiTM FC semalam.

Hanya lima pasukan Liga Perdana layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia tahun ini.

Dalam perlawanan ke-11 liga di Stadium Shah Alam itu, PKNP mendahului tuan rumah menerusi penyerang sensasi Shahrel Fikri pada minit ke-14 sebelum penyerang import Akkani Sunday menyamakan kedudukan di minit ke-77.

“Kami sepatutnya menang perlawanan ini tapi ada sedikit kesilapan di bahagian pertahanan tapi pada saya ia perlawanan yang seimbang,” jelas Abu Bakar.

Sementara itu jurulatih UiTM FC Wan Mustafa Wan Ismail tetap memuji kesungguhan pemain meskipun gagal meraih kemenangan di laman sendiri.

“Dengan apa yang dipersembahkan oleh pemain dalam perlawanan ini, saya percaya kami boleh menjadi pencabar untuk merebut tempat ke Liga Super tahun depan,” katanya.

Sementara itu, pendahulu Liga Perdana Negeri Sembilan hanya mampu seri 1-1 dengan Perlis di Kangar semalam manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menang tipis 4-3 ke atas Kuantan FA di Tanjung Malim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 8:17 AM