BADDROL (kanan) rangkul tiga anugerah ABK 2017, manakala Ifwat (tengah) terima anugerah Penjaga Gol Terbaik. Davies (bawah) terima anugerah Pertahanan Terbaik dan Shahrel (kiri) pula menerima anugerah Penyerang Terbaik.
BADDROL (kanan) rangkul tiga anugerah ABK 2017, manakala Ifwat (tengah) terima anugerah Penjaga Gol Terbaik. Davies (bawah) terima anugerah Pertahanan Terbaik dan Shahrel (kiri) pula menerima anugerah Penyerang Terbaik.
Syafiq Aznan


TAHUN 2017 jelas menjadi detik gemilang buat perancang tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar apabila meraih tiga anugerah termasuk anugerah utama, Pemain Paling Bernilai dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK 2017) yang berlangsung di sini, sebentar tadi.

Selain meraih anugerah utama ABK 2017 itu, pemain tengah kebangsaan itu turut dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super musim ini dengan menyumbat sembilan gol.

SATHIANATHAN (tengah) memantau terima anugerah Jurulatih Terbaik.
SATHIANATHAN (tengah) memantau terima anugerah Jurulatih Terbaik.

Pengiktirafan yang diterima pemain berusia 29 tahun itu susulan kejayaannya membantu Helang Merah merangkul Piala Sumbangsih dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) selain muncul juara Piala FA dengan menundukkan Pahang.

Tidak cukup dengan kejayaan Baddrol itu, pasukan Kedah juga mendominasi dua lagi anugerah apabila penjaga golnya, Ifwat Akmal Chek Kassim dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik, manakala perancang tengah dari Kosovo, Liridon Krasniqi dinobatkan Pemain Import Terbaik.

LIRIDON terima anugerah Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Popular manakala penyokong terbaik milik Kedah.
LIRIDON terima anugerah Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Popular manakala penyokong terbaik milik Kedah.

Kedah terus mendominasi majlis anugerah itu apabila turut meraih tiga anugerah sampingan iaitu Penyokong Terbaik, Pasukan Terbaik selain Krasniqi turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Popular musim ini.

Baddrol ketika ditemui berkata, anugerah terbabit memang sudah lama menjadi impiannya dan kini dia mengakui puas selepas berjaya merangku gelaran Pemain Paling Bernilai itu.

“Saya bersyukur kepada Allah dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang selama ini menyokong perjalanan karier saya.

“Anugerah ini sudah pasti akan menjadi pemangkin semangat untuk saya memberikan aksi yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, anugerah Pemain Pertahanan Terbaik menjadi milik bek kanan Pahang, Matthew Davies sementara penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri menewaskan Amri Yahyah dan Syafiq Ahmad untuk merangkul anugerah Penyerang Terbaik.

Seperti dijangka, bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan yang mengendalikan FELDA United muncul selaku Jurulatih Terbaik sementara bekas pertahanan Selangor yang menyertai skuad Harimau Selatan musim depan, Adam Nor Azlin meraih gelaran Pemain Muda Harapan.

ADAM (dua dari kiri) rangkul anugerah Pemain Muda Harapan.
ADAM (dua dari kiri) rangkul anugerah Pemain Muda Harapan.

Bagi anugerah lain, pemain import JDT, Mohammed Ghaddar mengesahkan status selaku penggempur berbisa Liga Super dengan 23 gol sekali gus melayakkan penyerang Lubnan itu merangkul gelaran Penjaring Terbanyak Liga Super.

Penjaring Terbanyak Liga Perdana pula menjadi milik penyerang Kuala Lumpur, Guillherme de Paula yang menjaringkan 27 gol buat skuad The Hawks itu.

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana pula menjadi milik penyerang Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff yang meledak 15 gol sementara pendatang baharu Liga Perdana, T-Team FC dianugerahkan Anugerah Fair Play.

GHADDAR (kanan) terima anugerah Ghaddar Penjaring Terbanyak Import Liga Super.
GHADDAR (kanan) terima anugerah Ghaddar Penjaring Terbanyak Import Liga Super.

Senarai Pemenang ABK 2017

Pemain Paling Bernilai

Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Penjaga Gol Terbaik

Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)

Pertahanan Terbaik

Matthew Davies (Pahang)

Pemain Tengah Terbaik

Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Penyerang Terbaik

Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC)

Pemain Import Terbaik

Liridon Krasniqi

Pemain Muda Harapan

Adam Nor Azlin (Selangor)

Jurulatih Terbaik

B Sathianathan (FELDA United)

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super

Baddrol Bakhtiar

Penjaring Terbanyak Import Liga Super

Mohammed Ghaddar

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana

Abdul Malik Mat Ariff (Kuantan FA)

Penjaring Terbanyak Import Liga Perdana

Guillherme de Paula (Kuala Lumpur)

Pemain Paling Popular

Liridon Krasniqi (Kedah)

Pemain Paling Mesra

N Thanabalan (FELCRA FC)

Anugerah Komuniti

Sunny Shalesh (Pan-Disability Football Malaysia)

Anugerah Fair Play

T-Team

Penyokong Terbaik

Kedah

Pasukan Bola Sepak Terbaik

Kedah

Laman Web Terbaik

Selangor

Laman Sosial Terbaik

Kedah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 11:04 PM