MUHAMMAD Shahrel Fikri
MUHAMMAD Shahrel Fikri
Azizan Hashim

Ipoh: Penyerang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mengakui semangatnya makin membara selepas dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK 2017), kelmarin.

“Ini satu kepuasan peribadi. Saya rasa sangat seronok dan bangga atas prestasi diri. Saya tidak dapat bayangkan perasaan apabila menggenggam anugerah ini,” kata Shahrel Fikri yang lebih dikenali sebagai Iki.

Pemain itu berkata, pengiktirafan berkenaan mendorong dirinya untuk berusaha lebih keras bagi meningkatkan lagi prestasi.

“Musim depan saya kena tingkatkan lagi kemampuan diri. Tidak kira saya akan bersama pasukan mana, saya berjanji akan pamerkan prestasi terbaik,” katanya.

Pemain itu juga mengucapkan terima kasih kepada PKNP FC terutama rakan sepasukan, jurulatih dan pengurusan kerana memberi kepercayaan penuh kepadanya sebagai ketua pasukan dan turut menjaganya dengan baik.

Shahrel juga pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana bulan Julai selain menyumbat 11 gol dalam kempen Liga Perdana serta tiga gol di peringkat suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia (6 gol).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 5:49 AM