SULAIMAN Hussin
SULAIMAN Hussin
Mohd Amin Jalil

Seremban: Pendatang baru Liga Perdana, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC belum menemui pemain import yang sesuai biarpun sudah menguji tujuh pemain terbabit sejak awal bulan ini.

Ketua jurulatih pasukan berkenaan, Sulaiman Hussin (gambar) berkata, walaupun ada kalangan pemain import yang diuji itu memenuhi kriteria diperlukan, tetapi mereka meminta bayaran gaji yang tinggi dan di luar kemampuan pasukan.

Katanya, pihaknya tidak boleh terburu-buru mendapatkan pemain berkenaan sebaliknya perlu meneliti dan menilai secara menyeluruh setiap pemain yang diuji sebelum menawarkan kontrak.

“Saya perlu teliti untuk memilih pemain import kerana sedar kehadiran mereka amat penting dalam pasukan dan kita tidak mahu mereka kelak sekadar jadi pelengkap.

“Kami hanya akan menawarkan kontrak kepada pemain import selepas didapati mereka layak dan memenuhi kriteria diperlukan selain bertepatan pula dengan kemampuan kewangan pasukan.

“Saya akui sukar untuk memilih pemain import kerana ia tugas mencabar selain pengalaman pertama kerana sebelum ini kami beraksi dalam Liga FAM yang tidak membabitkan khidmat pemain berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sulaiman berkata, di sebabkan tempoh masa masih panjang menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018 yang hanya akan membuka tirainya pada Februari depan, kemungkinan pihaknya akan menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya buat sementara waktu.

Justeru, beliau akan menggunakan tempoh yang ada itu untuk terus menguji pemain import lain sehingga ada kalangan mereka yang sesuai dan dapat memenuhi kriteria diperlukan pasukan.

“Saya akan terus menguji lebih ramai pemain import sebelum membuat keputusan. Buat ketika ini, kita akan memberi ruang dan peluang kepada pemain tempatan untuk menunjukkan skil dan prestasi mereka.

“Jika pemain tempatan dapat menunjukkan prestasi baik, kemungkinan kita hanya akan mengambil dua pemain import sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, skuad bimbingannya akan mengadakan dua lagi aksi persahabatan iaitu menentang Melaka United (MU) esok,diikuti FELDA United FC, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 9:01 AM