NORDIN (kiri) seru komitmen rakan sepasukan tundukkan Kelantan.
NORDIN (kiri) seru komitmen rakan sepasukan tundukkan Kelantan.
OlehMalik Muhamad

Kuala Terengganu: Kapten Terengganu Ahmad Nordin Alias tidak mahu berputih mata bertemu Kelantan 4 April ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebaliknya melaungkan keyakinan untuk mencatatkan kemenangan selepas berjaya memalukan Selangor dalam saingan Piala FA minggu lalu.

Pemain tengah yang mendapat pasangan baru Jaime Braganca dari Timor Leste tidak mahu menoleh ke belakang lagi dalam misi mengintai kedudukan teratas carta liga dan mahukan kemenangan terus dapat dicipta pasukan.

“Kelantan bukan mudah ditundukkan, tetapi jika komitmen tinggi daripada semua pemain, saya yakin Terengganu mampu melakar kejayaan ke atas pasukan jiran terdekat itu.

“Selain itu, saya berharap taktikal bakal diterapkan jurulatih akan menjadi selain mahu lebih ramai penyokong memenuhi stadium keramat memberikan sokongan padu kepada pemain,” katanya, semalam.

Mengulas pengambilan Braganca, wira Piala FA 2011 itu yang beraksi cemerlang di posisi tengah bersama pemain import Gustavo Lopez berharap pemain kelahiran Portugal itu mampu menambah sengat pasukan.

“Pemain menyambut baik kehadiran pemain tinggi lampai itu dan pada masa sama berharap kedatangannya mampu melonjak pasukan dan bukannya memanaskan bangku simpanan seperti pemain import tahun lalu Javier Estupinan dan Moustapha Dabo,” katanya.

Pemain berusia 30 tahun itu turut berharap barisan depan yang diketuai penjaring terbanyak Liga Super musim lalu Paulo Rangel lebih tajam memburu jaringan.

“Saya berkeyakinan dengan kehadiran Braganca, peledak pasukan pasti lebih tajam dan seterusnya mampu mencatat kemenangan dalam aksi seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:29 AM