JAZEMAN (kanan) di pentas podium. FOTO/ FACEBOOK JAZEMAN
JAZEMAN (kanan) di pentas podium. FOTO/ FACEBOOK JAZEMAN
Sukhairi Thani


PELUMBA empat roda negara, Jazeman Jaafar mempamerkan taringnya pada penampilan sulung di Siri Le Mans Asia 2017/18 apabila membantu pasukan Jackie Chan DC Racing x Jota Sport Oreca 05 Nissan #7 meraih penamat di tangga ketiga pada Pusingan 2 saingan di Fuji, Jepun semalam.

Lebih menggembirakan, satu lagi pasukan milik pelakon terkenal itu turut menjuarai kelas yang sama - LMP2, manakala podium kedua menjadi milik BBT Ligier JS P2 Nissan #37.

Jazeman yang bergandingan bersama David Cheng dalam perlumbaan ini jelas gembira dengan keputusan positif itu dan dilihat tidak sabar untuk meneruskan dua lagi baki pusingan musim.

“Minggu yang menarik,” tulis Jazeman dalam akaun Facebook, Jazeman Jaafar Live Page. “Podium pada penampilan pertama saya!. Terima kasih kepada Jota Sport DC Racing dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kerana merealisasikannya!.”

Selepas Fuji, pusingan ketiga musim dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand pada Januari dan SIC, Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:35 PM