JAZEMAN antara pemandu yang akan berlumba di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.
JAZEMAN antara pemandu yang akan berlumba di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.
Sukhairi Thani


TIGA pemandu negara, Jazeman Jaafar, Weiron Tan dan Afiq Ikhwan Yazid bakal bergabung tenaga pada baki dua pusingan perlumbaan kelas LMP2 Siri Le Mans Asia bermula Pusingan 3 di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, pertengahan bulan depan.

Ketiga-tiga pemandu ini bakal beraksi di bawah pasukan Jackie Chan DC Racing X JOTA - pasukan yang dimiliki pelakon terkenal, Jackie Chan yang sebelum ini muncul juara dalam kelas LMP2 di saingan 24 Jam Le Mans tahun ini.

“Perancangan SIC untuk melihat prestasi mereka beraksi di baki pusingan musim 2017/18 ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali dalam sidang media memperkenalkan pemandu berkenaan, hari ini.

“Sudah tentu kami mengharapkan podium kerana sekiranya berjaya kami akan menilai untuk penyertaan secara musim penuh di Le Mans Asia 2018/19. Jika muncul juara, secara automatik menerima slot ke perlumbaan 24 Jam Le Mans.”

Baru-baru ini, Jazeman yang membuat penampilan sulung bersama pasukan sama berjaya meraih penamat podium di Pusingan 2 di Fuji Jepun sekali gus menunjukkan kemampuan pemandu negara untuk beraksi di pentas berkenaan.

“Kami perlu mengetahui lebih lanjut mengenai perancangan mereka tahun depan kerana SIC mempunyai perancangan untuk meletakkan mereka dalam saingan Blancpain Endurance di Eropah dari bulan Mac hingga Oktober nanti.

“Ini membolehkan mereka menimba pengalaman supaya bersedia mengharungi musim 2018/19 dan sekiranya menjuarainya, ia bakal melayakkan mereka ke perlumbaan 24 Jam Le Mans. Itu jadi sasaran kami,” kata Razlan.

“Saya boleh katakan ia satu impian tinggi tetapi realistik sekiranya mengambil kira latar belakang pemandu ini. Mereka mempunyai latar belakang mengagumkan.

“Saya fikir kita mempunyai barisan pemandu yang berdaya saing, cuma hanya perlu dibantu untuk mendapatkan peluang dan menyertai kejuaraan yang mampu melonjakkan lagi karier mereka.”

Pusingan terakhir bagi musim 2017/18 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada awal Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 9:40 PM