JAZEMAN Jaafar, Afiq Ikhwan Yazid dan Weiron Tan membuat penampilan sulung yang membanggakan dalam Siri Asia Le Mans (ALMS) di Thailand apabila muncul juara. Foto SIC
JAZEMAN Jaafar, Afiq Ikhwan Yazid dan Weiron Tan membuat penampilan sulung yang membanggakan dalam Siri Asia Le Mans (ALMS) di Thailand apabila muncul juara. Foto SIC
Fadhli Ishak


PELUMBA negara, Jazeman Jaafar, Afiq Ikhwan Yazid dan Weiron Tan membuat penampilan sulung yang membanggakan dalam Siri Asia Le Mans (ALMS) di Thailand apabila memenangi perlumbaan endurance itu, semalam.

Berlumba di bawah pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota, Jazeman, Afiq dan Weiron tampil dengan persembahan mantap menggunakan jentera Nissan untuk mengungguli kelas perlumbaan LMP2 di Litar Buriram yang juga pusingan ketiga ALMS musim ini.

Trio negara itu menyempurnakan 237 pusingan dalam masa enam jam sekali gus mengatasi rakan sepasukan, Stephane Richelmi, Harrison Newey dan Thomas Laurent dengan kelebihan 1 minit 22.773 saat.

Pasukan BBT yang dikemudi Anthony Xu Liu, Davide Rizzo dan Pipo Derani pula meraih tempat ketiga selepas ketinggalan satu pusingan.

Weiron yang sebelum ini berlumba bersama pasukan Aylezo Ecotint Racing dalam kelas LMP3 pada musim 2016-2017 menyifatkan kemenangan itu sebagai cukup membanggakan.

“Pertama sekali, ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) atas peluang menakjubkan ini, kepada rakan sepasukan saya, Jaz dan Afiq kerana persembahan hebat dan kepada keseluruhan krew DC Racing kerana kerja yang menakjubkan,” kata Weiron.

“Begitu banyak usaha berpasukan pada minggu ini dan untuk menang dalam perlumbaan sulung LMP2 sebagai pasukan penuh Malaysia (pelumba) adalah sesuatu yang menakjubkan! Saya amat bersyukur dan kami tidak sabar untuk perlumbaan di tempat sendiri di Sepang selepas ini.”

SIC memainkan peranan penting bagi mendapatkan tempat bagi ketiga-tiga pelumba terbabit bersama pasukan berpangkalan di China itu.

Mereka menyertai pasukan berkenaan di pertengahan musim pada penghujung tahun lalu.

Perlumbaan pusingan terakhir ALMS akan diadakan di Sepang, 24 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 7:48 PM