NIDZAM (tengah) akan bertemu polis esok berkenaan tuduhan rasuah yang dilemparkan. -Foto fail
NIDZAM (tengah) akan bertemu polis esok berkenaan tuduhan rasuah yang dilemparkan. -Foto fail
Izzali Ismail


POLIS akan mengambil keterangan enam pemain Kedah termasuk jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff yang didakwa menjual perlawanan akhir Piala Malaysia pada 4 November lalu.

Penasihat perundangan Nidzam Adzha, Datuk Iszam Kamal Ismail berkata, polis akan bertemu semua enam pemain yang didakwa dengan perbuatan itu bagi mendapatkan keterangan berkaitan tuduhan rasuah yang dilemparkan pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan, esok.

“Semua pemain akan dipanggil pada Sabtu ini untuk diambil keterangan dan menjalani proses siasatan oleh pihak yang mengendalikan kes ini,” katanya.

Iszam berkata, polis juga sudah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan sudah mendapatkan maklumat mengenai pemilik akaun Facebook berkenaan termasuk lokasi perbuatan itu dilakukan.

“Selepas mendapat maklumat dari pihak SKMM, polis juga akan terus menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya.

Pada 9 November lalu, Nidzam Adzha membuat laporan di Balai Polis USJ, Subang Jaya berkaitan tuduhan yang mengatakan beliau serta enam pemain Kedah menerima rasuah dan menjual perlawanan akhir Piala Malaysia 2017.

Enam pemain Kedah yang dinyatakan itu ialah Arif Farhan Isa, Rizal Ghazali, Amirul Hisyam Awang Kechik, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Che Kassim dan ketua pasukan Khairul Helmi Johari.

Sembilan hari kemudian, Iszam memaklumkan bahawa pihaknya memberi tempoh 14 hari kepada Muhammad Ridzwan untuk tampil ke mana-mana balai polis bagi memberi keterangan dan menunjukkan bukti berkaitan dakwaan yang dilakukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 9:31 PM