KHAIRUL Helmi (kanan) tidak akan sembunyi apa-apa daripada SPRM. -Foto fail
KHAIRUL Helmi (kanan) tidak akan sembunyi apa-apa daripada SPRM. -Foto fail
Mohd Khairie Khalid


TONGGAK pertahanan Kedah, Khairul Helmi Johari mengaku dia sedia memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan menjual perlawanan pada aksi final Piala Malaysia, 4 November lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, dia tidak akan menyembunyikan apa-apa bagi memudahkan siasatan dijalankan pihak berkaitan termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami (tujuh individu) yang dilabel mengambil rasuah akan memberikan kerjasama dan maklumat kepada semua pihak sama ada PDRM mahupun SPRM pada bila-bila masa saja.

“Kerjasama akan diberikan, saya sendiri pun tidak akan menyembunyikan apa-apa,” kata Khairul Helmi ketika ditemui pada Majis Pelancaran But Adidas Predator 18 yang berlangsung di Football Republic, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Helmi berkata, pemain bola sepak sering dikaitkan dengan rasuah namun dia sentiasa mengambil pendekatan positif akan setiap tohmahan sebegitu dan menjadikannya sebagai pendorong untuk meningkatkan lagi prestasi.

Bercakap mengenai masa depannya, Khairul Helmi yang lebih dikenali sebagai Keon berkata, setakat ini kontraknya masih bersama Kedah dan berharap dapat terus memberikan khidmat buat skuad Helang Merah musim depan.

Semalam, media melaporkan polis mahu mengambil keterangan enam pemain Kedah yang didakwa terbabit rasuah selain jurulatih, Nidzam Adzha pada aksi final Piala Malaysia, 4 November lalu.

Perkara itu disahkan penasihat perundangan Nidzam, Datuk Iszam Kamal Ismail sambil menjelaskan perkara itu bertujuan membantu siasatan berhubung pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan yang didakwa memfitnah mereka.

Iszam menjelaskan polis juga akan menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai pemilik akaun Facebook berkenaan termasuk lokasinya.

Sebagai rekod, pada 9 November lalu, Nidzam membuat laporan polis selepas wujud dakwaan beliau bersama enam pemain Kedah - Arif Farhan Isa, Rizal Ghazali, Amirul Hisyam Awang Kechik, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Che Kassim dan kapten, Khairul Helmi Johari - menerima rasuah dan menjual aksi final Piala Malaysia seperti mana tersebar di Facebook.

Bermula 18 November lalu, Iszam menjelaskan pihaknya memberi tempoh 14 hari kepada Ridzwan untuk tampil ke mana-mana balai polis bagi memberi keterangan dan menunjukkan bukti berhubung dakwaannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 11:52 PM