NIDZAM Adzha akui tuduhan yang dilemparkan kepadanya sangat berat dan boleh beri implikasi yang sangat besar kepada dirinya. -Foto fail
NIDZAM Adzha akui tuduhan yang dilemparkan kepadanya sangat berat dan boleh beri implikasi yang sangat besar kepada dirinya. -Foto fail
Rodly Fadly


PENOLONG jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff akan berbincang dengan peguamnya Datuk Iszam Kamal Ismail mengenai permohonan maaf secara terbuka pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan berhubung tuduhan rasuah ke atasnya, sebelum mengambil tindakan lanjut.

Nidzam, antara tujuh individu yang dipalit dengan isu itu selepas kekalahan 0-2 Kedah kepada Johor Darul Ta’zim pada final Piala Malaysia 4 November lalu berkata, beliau akan menyerahkan kepada peguamnya untuk membuat keputusan.

“Saya tidak boleh menyatakan apa langkah yang akan diambil kerana kes ini sudah saya serahkan kepada peguam. Saya akan berbincang dengan beliau serta meminta pandangannya sebelum membuat keputusan.

“Tapi secara peribadi saya menganggap tuduhan ini fitnah yang terlalu berat. Implikasinya amat besar ke atas diri serta karier saya.

“Ia bukan saja memburukkan reputasi saya malah boleh menutup periuk nasi saya sebagai jurulatih. Mungkin pada masa akan datang, kalau ada pasukan yang mahu menawarkan saya, mereka akan membatalkan niat itu berikutan tuduhan rasuah ini.

“Walaupun terlalu marah kerana tidak dapat menerima kekalahan Kedah, janganlah sampai menabur fitnah yang boleh memusnahkan karier orang lain,” kata Nidzam.

Ridzwan melalui akaun Facebook menamakan Nidzam serta enam pemain Arif Farhan Isa, Rizal Ghazali, Amirul Hisyam Awang Kechik, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Che Kassim dan ketua pasukan Khairul Helmi Johari sebagai individu yang terbabit rasuah dalam perlawanan akhir itu.

Susulan tuduhan itu Nidzam membuat laporan polis di Balai Polis USJ, Subang Jaya pada 9 November. Ia disusuli dengan kenyataan peguamnya pada 18 November yang memberi tempoh 14 hari kepada Ridzwan untuk muncul memberi keterangan di mana-mana balai polis.

Rentetan isu itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan daripada Nidzam serta enam pemain berkenaan.

Semalam, Ridzwan memuat naik video menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada Nidzam dan enam pemain itu.

Melalui video berdurasi 2:48 minit itu, Ridzwan berkata, dia sudah membuat laporan polis untuk menafikan dakwaannya ke atas semua individu berkenaan.

“Saya memohon maaf atas kenyataan itu kepada penama-penama yang saya sebutkan. Semoga permohonan maaf ini diterima oleh mereka bertujuh, seterusnya dapat menjernihkan keadaan,” ujar Ridzwan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 1:10 PM