ISZAM (kanan) akui polis juga akan hubungi SKMM untuk dapatkan maklumat terperinci. -Foto fail
ISZAM (kanan) akui polis juga akan hubungi SKMM untuk dapatkan maklumat terperinci. -Foto fail
Zulfaizan Mansor


POLIS mahu mengambil keterangan enam pemain Kedah yang didakwa terbabit rasuah bersama jurulatihnya, Nidzam Adzha Yusoff pada aksi final Piala Malaysia, 4 November lalu.

Perkara itu disahkan penasihat perundangan Nidzam, Datuk Iszam Kamal Ismail sambil menjelaskan ia bagi membantu siasatan berhubung pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan yang didakwa memfitnah mereka.

Iszam berkata, polis juga akan menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan maklumat terperinci pemilik akaun Facebook berkenaan termasuk lokasinya.

“Pegawai penyiasat kes ini memaklumkan kepada kami yang mereka mahu menemubual enam pemain Kedah untuk mendapatkan maklumat lanjut sama ada mereka mengenali suspek atau tidak.

“Selepas itu polis akan menilai sama ada betul atau tidak pemilik Facebook itu dalang yang membuat fitnah sebelum tindakan lanjut diambil.

“Sekarang ini polis tak tahu lokasi dia (Ridzwan) dan maklumat itu mungkin boleh diperoleh daripada SKMM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 9 November lalu, Nidzam membuat laporan polis selepas wujud dakwaan beliau bersama enam pemain Kedah - Arif Farhan Isa, Rizal Ghazali, Amirul Hisyam Awang Kechik, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Che Kassim dan kapten, Khairul Helmi Johari - menerima rasuah dan menjual aksi final Piala Malaysia seperti mana tersebar di Facebook.

Bermula 18 November lalu, Iszam menjelaskan pihaknya memberi tempoh 14 hari kepada Ridzwan untuk tampil ke mana-mana balai polis bagi memberi keterangan dan menunjukkan bukti berhubung dakwaannya itu.

Namun, sehingga hari ini, Iszam berkata, Ridzwan masih belum tampil memberi sebarang keterangan dengan tempoh untuknya berbuat demikian hanya tinggal empat hari.

“Kami akan tunggu siasatan polis dahulu sebelum mempertimbangkan untuk ambil tindakan undang-undang termasuk saman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 8:34 PM