Devinder Singh


NG EAIN Yow mengikut jejak kemenangan Nafiizwan Adnan bagi membantu Malaysia mengecewakan India 2-1 dalam aksi Kumpulan H Kejohanan Berpasukan Skuasy Dunia di Marseille, Perancis malam tadi.

Pemain nombor satu negara, Nafiizwan bangkit daripada ketinggalan 6-9 di set kelima untuk menewaskan pemain nombor 21 dunia, Saurav Ghosal 11-8, 8-11, 5-11, 11-4, 11-9 di perlawanan pembukaan.

Syafiq Kamal yang membuat kemunculan pertamanya di kejohanan ini tidak mampu menjelmakan kemenangan apabila pemain nombor 69 dunia, Mahesh Mangaonkar mengikat kedudukan kepada 1-1 selepas tewas 8-11, 11-8, 11-5, 11-5.

Kekalahan itu jelas meletakkan juara remaja dunia 2016, Eain Yow - yang juga membuat kemunculan pertama - berada dalam tekanan namun mampu mengatasinya apabila menewaskan pilihan kelapan dari India, Harinder Pal Singh Sandu di perlawanan penentuan.

Eain Yow, 19 menang ke atas Harinder Pal dengan keputusan 11-7, 5-11, 8-11, 11-6, 11-5.

“Kami tahu ia akan menjadi sukar apabila bertemu India tetapi kami merasakan yang kami berpeluang untuk memenanginya biarpun kita bukan pilihan,” kata Eain Yow.

“Selepas menyaksikan Nafiizwan menang daripada ketinggalan 6-9, saya rasa harus melakukan sesuatu apabila saya tewas di perlawanan ketiga.

“Saya harus memberikan segala-galanya dan saya hanya terus mencuba. Saya gembira kerana meraih kemenangan.”

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan hari ini, Nafiizwan berkata: “Ia seperti bermain catur dan kamu harus bersedia untuk meneruskan langkah seterusnya.

“Saya hanya bermain dengan corak sendiri dan memastikan tenaga saya cukup kerana dia mempunyai masalah dengannya.”

Malaysia dijadual bertemu Austria esok dan memerlukan satu lagi kemenangan untuk menamatkan saingan di puncak kumpulan sebelum melangkah mara ke pusingan kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 12:53 AM