Wee Wern lepasi pusingan pertama Kejohanan Terbuka Windy City di Chicago, Amerika Syarikat. FOTO File NSTP
Wee Wern lepasi pusingan pertama Kejohanan Terbuka Windy City di Chicago, Amerika Syarikat. FOTO File NSTP
BERNAMA

PEMAIN skuasy wanita negara, Low Wee Wern, menjadi satu-satunya wakil Malaysia berjaya melepasi pusingan pertama Kejohanan Terbuka Windy City di Chicago, Amerika Syarikat semalam.

Namun, pemain berusia 29 tahun dari Pulau Pinang itu terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mengetepikan Jasmin Hutton dari England 5-11, 11-8, 11-5, 6-11 dan 14-12, dalam tempoh 77 minit pertarungan di gelanggang berkaca Universiti Club of Chicago, menurut laman web kejohanan https://windycityopen.ussquash.com.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa seorang lagi pemain wanita negara, S Sivasangari apabila tersingkir awal daripada kejohanan yang menawarkan wang tunai AS$500,000 (RM2.10 juta) selepas tewas kepada Hollie Naughton dari Kanada 8-11, 9-11, 11-4, 12-10.

Cabaran negara dalam kategori lelaki juga berakhir selepas Ivan Yuen dan Ng Eain Yow tewas kepada lawan masing-masing.

Ivan yang cuba memberi saingan sengit, bagaimanapun akur dengan kekalahan kepada pemain Perancis, Mathieu Castagnet 9-11, 10-12, 9-11 manakala Eain Yow pula tunduk kepada Adrian Waller dari England 7-11, 5-11, 11-13.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 7:36 PM