Ferzalfie Fauzi


KEJUARAAN ke-11 yang diraih pemain badminton negara, Cheah Liek Hou (gambar) di Kejohanan Para Dunia bakal menjadi pembakar semangat buatnya untuk meraih emas menjelang aksi sulung di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menurut pemain berusia 29 tahun itu yang beraksi di bawah kategori SU5 (kecacatan tangan), kejuaraan yang diraih semalam selepas menumpaskan wakil Indonesia, Suryo Nugroho mampu membantunya serta rakan-rakan lain untuk lebih bermotivasi.

“Saya juga mengharapkan kejayaan ini mampu mendorong kerajaan untuk memberi sokongan terutama dalam persiapan untuk menghadapi Paralimpik Tokyo nanti,” kata Liek Hou yang mempertahankan emas acara perseorangan lelaki di kejohanan berkenaan.

Pada aksi menentang Suryo itu, Liek Hou menang 19-21, 21-15, 21-18 namun dalam aksi beregu lelaki ketika berpasangan bersama Haiol Fozi Saaba dia gagal untuk mengulangi kejayaan berkenaan.

Liek Hou-Hairul Fozi tumpas 21-18, 21-23, 18-21 kepada Suryo yang bergandingan dengan pemain Singapura, Tay Wei Ming.

Semalam, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui pemain badminton para harus sentiasa berwaspada dan melakukan persiapan mantap berikutan pemain negara lain sudah mula memberi perhatian khusus kepada acara berkenaan yang bakal dipertandingkan buat kali pertama di peringkat Paralimpik.

Peringatan Norza itu juga menjurus kepada peningkatan dipamerkan pemain India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan dan China.

Skuad badminton negara sebelum ini meletakkan sasaran untuk membawa pulang dua emas, namun hanya berpuas hati dengan satu emas dan satu perak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 10:01 PM