Aksi atlet badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou di Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aksi atlet badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou di Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejayaan pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou meraih emas di temasya Paralimpik Tokyo bakal mencetus fenomena baharu dalam sukan berkenaan terutama dari aspek pembangunan.

Menurut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, pembangunan badminton para dijangka akan berkembang dengan lebih hebat lagi selepas ini apabila Liek Hou mencipta sejarah di Tokyo.

"Sebagai presiden BAM saya bangga dan gembira dengan pencapaian Liek Hou di Paralimpik. Ia juga cukup bersejarah kerana kali pertama badminton di perkenalkan di temasya berkenaan. Ia kejayaan besar dan manis buat suka badminton tanah air," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar Norza, selama ini BAM memang mempunyai Jawatankuasa Para Badminton yang dipengerusikan Dr Naharuddin Hashim namun bagi program latihan ia berada di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).

"Mungkin selepas ini kita akan berbincang dengan MSN sama ada mereka akan meneruskan program berkenaan atau lebih banyak peranan diberikan kepada BAM. Apa pun perkara ini akan dibincang dengan MSN," katanya.

Liek Hou yang beraksi bagi kategori SU5 muncul juara selepas menumbangkan pemain nombor satu dunia yang juga musuh tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 dalam aksi final di Stadium Kebangsaan Yoyogi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 6:40 PM