NORZA bangga pencapaian pemain perseorangan negara.
NORZA bangga pencapaian pemain perseorangan negara.
Ferzalfie Fauzi


KEEMPAT-empat pemain perseorangan lelaki negara mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Kejohanan Badminton Para Dunia di Ulsan, Korea Selatan, selepas memenangi perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini.

Pilihan kedua kejohanan, Bakri Omar menepati ramalan untuk muncul juara Kumpulan B SL 4 (kecacatan kaki) selepas mengalahkan Sedat Tuemkaya dari Turki 21-6, 21-10.

Penyandang juara dan juga pilihan utama bagi kategori SU 5 (kecacatan tangan), Cheah Liek Hou juga tidak berdepan masalah menumpaskan wakil Jepun, Gen Shogaki, 21-17, 21-15.

Bagi kategori SS 6 (kerdil), Didin Taresoh yang juga pilihan kedua berjaya mengalahkan Bunthan Yaemmali dari Thailand, 21-15, 11-21, 21-13.

Melengkapkan hari cemerlang pemain negara ialah kemenangan 21-12, 21-10 yang dijelmakan oleh Madzlan Saibon ke atas Aphichat Sumpradit (Thailand) dalam perlawanan Kumpulan D WH 2 (kerusi roda).

Dalam pada itu, pilihan utama beregu lelaki SU 5 iaitu gandingan Liek Hou-Hairol Fozi Saaba pula bermula dengan langkah kanan apabila memenangi perlawanan sulung Kumpulan A selepas menumpaskan Lee Meng Yuan-Lin Cheng Che dari Taiwan 21-13, 22-20.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria melahirkan rasa bangga dengan pencapaian yang dipamerkan pemain negara setakat ini yang semakin hampir mencapai sasaran dua emas.

“Saya rasa sasaran dua emas dapat direalisasikan dan mereka berjaya meneruskan momentum di Sukan Para ASEAN ke Kejohanan Para Dunia. Pencapaian yang dicapai menunjukkan mereka sangat fokus dan begitu serius untuk beraksi cemerlang di Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya.

Badminton berjaya menghadiahkan empat emas, tiga perak dan lapan gangsa kepada kontinjen negara di Para ASEAN September lalu.

Pusingan kalah mati akan bermula Sabtu ini dan cabaran pemain negara dijangka bertambah sengit apabila berdepan beberapa kuasa besar lain seperti Indonesia, China, Jepun dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 11:34 PM