LIEK Hou tewaskan musuh ketat dari Indonesia.
LIEK Hou tewaskan musuh ketat dari Indonesia.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou terus berada di landasan terbaik menjelang Sukan Paralimpik Paris tahun depan selepas merakam kejuaraan ketiga berturut-turut tahun ini apabila menjuarai Kejohanan Antarabangsa Empat Negara di Sheffield, England, semalam.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo itu muncul juara selepas menewaskan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-18, 21-10 pada aksi final kategori SU5.

Ia gelaran ketiga berturut-turut Liek Hou selepas kejayaan di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain dan Kanada.

Secara keseluruhan dia sudah merekodkan lima kejuaraan sepanjang saingan musim ini.

"Tahun ini sudah bertanding tujuh kejohanan untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik Paris 2024. Tiga kali juara kejohanan tahap 1, dua kali juara tahap 2, dan naib juara sekali, suku akhir sekali di tahap 2.

"Saya harap boleh terus meningkatkan prestasi permainan saya lagi di kejohanan yang akan datang. Terima kasih kepada semua yang telah menyokong saya dan berada di sisi untuk membantu saya," kata Liek Hou.

Sementara itu, hasrat seorang lagi pemain negara, Ikhwan Ramli untuk muncul juara bagi kategori perseorangan lelaki WH1 tidak kesampaian.

Dia terpaksa akur apabila tewas di tangan pemain Korea Selatan, Choi Jung Man 16-21, 12-21 pada aksi final.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 3:03 PM