RAHMAD (kiri) masih lagi berada di Indonesia sementara pemain T-Team terus jalani latihan di bawah seliaan Azhari. -Foto fail
RAHMAD (kiri) masih lagi berada di Indonesia sementara pemain T-Team terus jalani latihan di bawah seliaan Azhari. -Foto fail
Faizul Azlan Razak


BIARPUN status pasukan belum diputuskan oleh kerajaan negeri, namun pemain T-Team mengetepikan kemelut yang melanda dengan meneruskan latihan seperti biasa.

Latihan skuad The Titans dikendalikan penolong ketua jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim selepas barisan kejurulatihan dari Indonesia diketuai pengendali, Rahmad Darmawan kini masih berada di negara mereka.

Mohd Azhari berkata, sebahagian besar skuad kecuali pemain import masih memiliki kontrak bersama pasukan sehingga musim depan, manakala bakinya akan tamat pada akhir bulan ini.

Katanya, dia memuji semangat dan komitmen yang diberikan pemain sekalipun desas-desus kuat mengatakan T-Team bakal bermain di Liga Perdana musim 2018.

“Sekalipun belum ada kata putus, tetapi saya bersama pemain tetap menjalani latihan kerana menghormati kontrak bersama pasukan ini.

“Malah, barisan kejurulatihan kelahiran Indonesia kini tidak sabar mahu kembali ke pangkuan pasukan untuk membuat persiapan menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden 1, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail mengesahkan hanya satu pasukan dari Terengganu yang akan beraksi dalam saingan Liga Super, manakala T-Team beraksi di Liga Perdana musim depan.

Rabu lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan, perkara itu masih dalam perbincangan pengurusan dan akan diputuskan oleh jawatankuasa PBSNT.

Sehubungan itu, Mohd Azhari berkata, pihaknya masih menunggu keputusan muktamad yang akan diputuskan (Ahmad Razif) mengenai nasib T-Team, sama ada kekal bermain di Liga Super atau mahu meneruskan penjenamaan semula pasukan musim depan.

“Pasukan T-Team diberi tempoh sehingga Rabu ini untuk menghantar borang pengesahan penyertaan bertanding Liga Super musim depan.

“Jadi, kami mengharapkan Menteri Besar dapat memberikan berita gembira buat pegawai, pemain dan penyokong T-Team,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 2:45 PM