AHMAD Razif (kanan) perlu bagi keputusan segera kepada FMLLP.
AHMAD Razif (kanan) perlu bagi keputusan segera kepada FMLLP.
Zulfaizan Mansor


PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), masih menunggu surat rasmi daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung keputusan badan induk itu mahu T-Team beraksi di Liga Perdana musim depan.

Keputusan itu dicapai dalam Kongres Tahunan PBSNT yang dipengerusikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Kuala Terengganu, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam bagaimanapun berkata, pihaknya tidak boleh memberi penjelasan lanjut pasukan mana yang akan menggantikan tempat T-Team dalam Liga Super kerana masih belum menerima pengesahan rasmi daripada PBSNT.

“Kita belum mendapat apa-apa maklumat daripada pasukan T-Team (PBSNT). Jadi kita kena tunggu pengesahan sebelum membuat sebarang keputusan berdasarkan kelayakan T-Team untuk menjadi ‘feeder club’ dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengikut kedudukan asal, T-Team kekal dalam saingan Liga Super musim depan selepas menghuni tangga kesembilan sementara Terengganu kembali semula ke liga utama itu selepas muncul naib juara Liga Perdana musim ini.

Namun, Ahmad Razif yang juga Presiden PBSNT mengumumkan lima pasukan baharu berada di bawah pengawasan badan induk itu iaitu Terengganu FC I (TFCI) yang beraksi di Liga Super, TFC II (Liga Perdana), TFC III (Piala Presiden), TFC IV (Piala Belia) dan TFC V (Piala KPM Bawah 17 Tahun).

Beliau berkata, penstrukturan dan penjenamaan semula pasukan bola sepak berkenaan sedikit sebanyak mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung terhadap dua pasukan sebelum ini, Terengganu dan T-Team.

“Kami hanya ada satu pasukan terkuat yang dibarisi pemain hebat iaitu TFCI beraksi di Liga Super dan sasaran kami sekurang-kurangnya mahu memastikan pasukan ini menjulang satu piala musim depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 8:50 PM