STADIUM Sultan Muhammad IV. -Foto fail
STADIUM Sultan Muhammad IV. -Foto fail
Mohd Fitrie Muhamad


STADIUM Sultan Muhammad IV dipilih sebagai venue final Piala Emas Raja-Raja antara Kelantan dan Pulau Pinang, 11 November ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) semalam.

Timbalan Presiden PBMM, Firdaus Mohamed berkata sambutan penyokong antara perkara utama yang diambil kira sekali gus menjadikan ia seiring dengan penjenamaan semula pertandingan ini.

“Walaupun Pulau Pinang turut menawarkan diri untuk mengadakan aksi ini di Stadium Negeri, Batu Kawan, kita buat keputusan ini selepas berpendapat Stadium Sultan Muhammad IV mampu menarik lebih ramai kehadiran penyokong.

“Kita akan pastikan segalanya akan berjalan lancar dan untuk itu, pihak kami akan sentiasa berhubung serta bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan,” katanya.

Sepak mula perlawanan itu ialah 8.45 malam dan tiket dijual pada harga RM5 dan RM10.

Walaupun berkelebihan beraksi di ‘tempat sendiri’ dan menang 2-0 ke atas Pulau Pinang pada aksi Kumpulan D, Kelantan tetap perlu waspada kerana lawan mereka pasti tampil dengan corak berbeza.

Ia ditambah dengan misi balas dendam buat Pulau Pinang ketika mereka pernah dikecewakan 4-0 oleh lawan sama pada final edisi 2008 di gelanggang sama, yang juga penampilan terakhir Pulau Pinang di perlawanan akhir pertandingan ini.

Pada masa sama, Kelantan yang kali terakhir muncul juara pada 2010 pasti memburu trofi tunggal buat negeri itu selepas gagal dilakukan oleh pasukan ‘abang’ di saingan Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 6:15 PM