PEMAIN Kelantan, Mohamad Qhaidir Abdullah (dua dari kanan) diasak dua pemain Kuala Lumpur ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Emas Raja-Raja 2017 di Kompleks Sukan UPM Serdang. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
PEMAIN Kelantan, Mohamad Qhaidir Abdullah (dua dari kanan) diasak dua pemain Kuala Lumpur ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Emas Raja-Raja 2017 di Kompleks Sukan UPM Serdang. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Haika Khazi

KAPTEN Kelantan, Tuan Norhisam Tuan Mahmood enggan mengambil sepakan penalti sekiranya skuad The Red Warriors (TRW) ditakdirkan seri dengan Pulau Pinang sehingga tamat masa tambahan dalam aksi final Piala Emas Raja-Raja Ke-77 di Stadium Sultan Mohammad IV, malam Sabtu ini.

Tuan Norhisam menegaskan dia lebih rela memberi peluang kepada rakan sepasukan yang lain untuk mengambil sepakan penalti jika Kelantan dan Pulau Pinang masih terikat termasuk selepas masa tambahan 30 minit.

“Saya semacam gementar kalau mengambil penalti penentuan dan saya lebih suka jika rakan sepasukan menyudahkannya apatah lagi berlaku dalam perlawanan akhir yang begitu genting.

“Pernah ketika bersama Kelantan menentang Perak dalam perlawanan akhir Piala Presiden 2009, saya memilih untuk tidak terbabit (mengambil penalti),” kata pemain tengah berasal dari Bachok berusia 30 tahun ketika dihubung.

Norhisan dijangka kembali memakai lilitan kapten selepas tercedera sebelum perlawanan separuh akhir kedua menentang Kuala Lumpur, 28 Oktober lalu.

“Saya cedera urat pelipat lutut (hamstring) dan terpaksa berehat. Sekarang sudah beransur pulih dan pastinya peluang bermain final ini tidak boleh dilepaskan apatah lagi depan penyokong sendiri.

“Kelebihan sebagai tuan rumah itu hanya sedikit dan rekod kemenangan 2-0 kami terhadap Pulau Pinang (saingan Kumpulan D di gelanggang lawan, 20 September lalu) tidak boleh dijadikan ukuran sangat.

“Situasi perlawanan akhir pasti berbeza dan saya secara peribadi memang mahukan piala pertama dalam karier bola sepak saya,” katanya pemain yang pernah mewakili Penjara FC sebelum berhijrah ke MPKB-BRI-Ubes dalam Liga FAM.

Untuk rekod, Kelantan juga pernah mengecewakan Pulau Pinang 4-0 di Stadium Sultan Muhammad ketika mereka bertembung dalam aksi final Piala Emas Raja-Raja 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 7:50 PM