KELANTAN (jersi merah) tak sabar nanti kunjungna Pulau Pinang malam esok.
KELANTAN (jersi merah) tak sabar nanti kunjungna Pulau Pinang malam esok.
Hasbullah Ibrahim


KELANTAN dan Pulau Pinang menanam tekad untuk mempamer aksi terbaik bagi merebut gelaran juara di final Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2017 yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Pengurus Kelantan, Nudin Awang berkata, beliau yakin dapat meraih gelaran juara selepas hampir enam tahun gagal mara ke pentas perlawanan akhir.

“Kita menghormati Pulau Pinang dengan menganggap mereka bukan lawan yang mudah untuk ditewaskan walaupun kita sudah menang 2-0 pada saingan awal peringkat kumpulan, September lalu.

“Sehubungan itu, pemain diingatkan supaya bermain bersungguh-sungguh untuk menjuarai piala edisi kali ini dengan perancangan ketua jurulatih, Kamaruddin Mohammad untuk memerangkap pihak lawan.

“Kita juga bakal menghadiahkan kemenangan sempena ulang tahun sambutan Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-48,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Pulau Pinang, Jamil Md Nor berkata, pasukannya mahu menebus kembali kekalahan 0-4 di tangan Kelantan pada edisi 2008.

“Kami juga berazam mempamer aksi terbaik malah pemain tampak bersedia dari segi mental dan fizikal apabila berhadapan tuan rumah yang mempunyai kelebihan bermain di depan penyokong sendiri.

“Misi utama kami hanyalah ingin menewaskan Kelantan yang rata-ratanya dibarisi tonggak pasukan yang beraksi di Liga FAM berbanding kami yang hanya ditubuhkan tiga hingga empat bulan lalu dan terdiri daripada pemain skuad Piala Presiden dan bekas pemain negeri,” katanya.

Kelantan dan Pulau Pinang pernah berentap di pentas sama pada 2008 sekali gus menjadikan perlawanan malam esok umpama ulangan final yang dimenangi Kelantan.

Kelantan berjaya mara ke final selepas menundukkan Kuala Lumpur dengan agregat 2-0 sementara Pulau Pinang pula mengatasi Selangor dengan agregat 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 11:11 PM