STADIUM Sultan Muhammad IV jadi gelanggang final Piala Emas Raja-Raja. FOTO/SYAMSI SUHAIMI
STADIUM Sultan Muhammad IV jadi gelanggang final Piala Emas Raja-Raja. FOTO/SYAMSI SUHAIMI
Haika Khazi


JAWATANKUASA Pertandingan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) memilih Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebagai gelanggang final Piala Emas Raja-Raja antara Kelantan dan Pulau Pinang pada 11 November ini.

Perkara itu diputuskan selepas mesyuarat dipengerusikan Timbalan Presidennya, Mohd Firdaus Mohamed, hari ini.

Menurut Firdaus, sepak mula perlawanan itu pada jam 8.45 malam dengan harga tiket ditetapkan RM5 dan RM10.

“Jawatankuasa ini memutuskan Stadium Sultan Muhammad IV kerana mendapatinya mampu menarik lebih ramai penonton biarpun Pulau Pinang juga menawarkan diri sebagai tuan rumah di Stadium Negeri, Batu Kawan.

“Kami juga akan bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (KAFA) bagi memastikan tahap keselamatan terkawal sepanjang perlawanan,” katanya.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, pihaknya juga menekankan kepentingan mengenai kemeriahan sambutan peminat selari dengan matlamat penganjuran Piala Emas Raja-Raja yang dijenamakan semula iaitu merakyatkan sukan bola sepak.

Stadium Sultan Muhammad IV yang dibina pada 1967 mampu memuatkan hingga 30,000 penonton sementara Stadium Negeri yang berusia 17 tahun, mempunyai kapasiti 40,000.

Kali terakhir Kelantan dan Pulau Pinang bertemu pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja adalah pada 2008 juga di Stadium Sultan Muhammad IV yang dimenangi tuan rumah 4-0.

Kelantan mara ke final selepas menewaskan Kuala Lumpur secara agregat 2-0 pada separuh akhir sementara Pulau Pinang mengatasi Selangor 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 2:24 PM