PULAU PINANG fokus hadapi aksi separuh akhir kedua menentang Selangor.
PULAU PINANG fokus hadapi aksi separuh akhir kedua menentang Selangor.
Mohd Fitrie Muhammad


PULAU Pinang enggan peduli mengenai kecaman Selangor betapa mereka hanya mengamalkan taktik bertahan pada aksi separuh akhir pertama Piala emas Raja-Raja, Sabtu lalu.

Jurulatihnya, Abdul Rahim Hassan berkata, kecaman Selangor terhadap corak permainan skuad kendaliannya itu hanya menjurus kepada perang psikologi menjelang aksi separuh akhir kedua, Ahad ini.

Menurutnya, pasukannya tidak sesekali terjerat dengan kecaman itu dan akan bermain mengikut strategi sendiri.

“Ia hanya perang saraf. Biarlah apa mereka kata kerana itu pendapat mereka. Kami perlu berdisiplin dalam merencana taktikal. Apapun, pada aksi pertama sebelum ini, kami bukannya bertahan sepanjang masa.Kami juga ada beberapa peluang terutamanya di separuh masa pertama,” katanya.

Pada aksi pertama di Stadium Mini Sungai Besar, Sabak Bernam, Sabtu lalu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Rahim mengakui kejayaan mengikat Selangor itu secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada anak buahnya menjelang aksi di Stadium Universiti Sains Malaysia (USM), Ahad ini.

“Pemain sudah lakukan tugas dengan baik. Kami tidak berdepan dengan masalah kecederaan. Saya hanya mahukan pemain fokus dan hasilnya akan tiba.”

Jadual separuh akhir kedua, Ahad

Kelantan (2) mln Kuala Lumpur (0)

Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 8.45 malam

Pulau Pinang (0) mln Selangor (0)

Stadium USM, Pulau Pinang, 4.30 petang

* Keputusan separuh akhir pertama dalam kurungan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 11:21 PM