PEMAIN Atletico Jose Maria Gimenez (tengah) melakukan percubaan ke arah gawang gol Elche. -Foto Reuters
PEMAIN Atletico Jose Maria Gimenez (tengah) melakukan percubaan ke arah gawang gol Elche. -Foto Reuters
AFP

MADRID: Atletico Madrid yang turun tanpa tonggak utamanya terus menari rentak sumbang apabila diikat kelab divisyen tiga Elche 1-1 dalam perlawanan pertama kelompok 32 terakhir Piala Raja Sepanyol awal pagi tadi.

Thomas Partey menghadiahkan gol pendahuluan buat pelawat di Stadium Martinez Valero tatkala Atletico menguasai sepenuhnya permainan sebelum menuju rehat separuh masa.

Bagaimanapun, selepas percubaan Luciano Vietto terkena palang dan Keidi Bare mensia-siakan peluang terbuka, skuad kendalian Diego Simeone dihukum menerusi gol penalti Lolo Pla hanya enam minit bersambung babak kedua.

Vietto sekali lagi melepaskan peluang keemasan dan percubaan Fernando Torres - yang menyamai rekod 368 penampilan Luis Aragones untuk kelab - sekadar singgah di sisi gawang sekali gus menyaksikan Atletico gagal menang di laman sendiri buat kali kelima daripada tujuh perlawanan.

“Kami mempunyai tiga peluang satu lawan satu dengan penjaga gol,” kata perancang tengah Atletico, Saul Niguez kepada BeIN Sports.

“Ia sama seperti biasa, masalah gopoh menyebabkan kami tumpul di depan gol. Kami tidak menjaringkan gol dan akhirnya kami merana.”

Ponferradina merakam kejutan terbesar awal pagi tadi apabila sepakan bebas menarik Sergio Cidoncha menghadiahkan kelab divisyen tiga itu kemenangan 1-0 ke atas Villarreal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 11:47 AM