NOOR Azman
NOOR Azman
Nazri Abu Bakar


Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menyasarkan untuk melahirkan 600 bakat baru setiap tahun menerusi pembangunan program bola sepak akar umbi yang dijadualkan bermula Januari 2018.

Setiausaha Agung MUSA, Noor Azman Rahman berkata, pendekatan berkenaan antara usaha persatuan menangani ketandusan bakat baru yang proaktif untuk kecemerlangan pasukan bola sepak negeri.

Menurutnya, bagi memenuhi matlamat terbabit, MUSA akan membentuk kerjasama dengan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi pelaksanaan segala perancangan.

Katanya, kerjasama seumpama itu sudah berlaku membabitkan Johor dan Kedah manakala Melaka adalah yang ketiga berbuat demikian.

“Perbincangan lanjut diatur bersama NFDP bagi proses pelaksanaannya dan kami sudah memperoleh lampu hijau. Setakat ini, ada tiga pusat latihan di Melaka termasuk di Rakan Muda Lendu, Telok Mas dan Jasin.

“Program NFDP dilihat kian berkembang dan berjaya membentuk pemain muda berbakat, justeru kerjasama berkenaan bakal dikembangkan lebih meluas di Melaka termasuk menambah pusat latihan di Kompleks Sukan Hang Jebat, Paya Rumput,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan di Pusat latihan di Lendu. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar dan jurulatih Melaka United, Eduardo Almeida.

Noor Azman berkata, program terbabit juga menepati kehendak syarat dan kriteria pelesenan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 11:57 AM